Jumaat, 30 Disember 2011

TERKEJUT DAN TERHARU-30 Disember...

Terkejut dan terharu saya. Lebih kurang jam 10.30 loceng rumah dipetik. Tengok-tengok jiran sebelah rumah datang. Takkan jiran sebelah rumah datang pun terkejut dan terharu kot. Yang sebenarnya terkejut dan terharu sebab datang dengan sebiji kek untuk meraikan hari jadi yang ke...ke berapa eh? Ke-36 kalau tak silap, sebab lahir tahun 1975. Teruknya "dia" ni, umur sendiri pun tak ingat. Terima kasih saya ucapkan kepada jiran saya yang sangat baik hati, Kak Aizah kerana bersusah-payah menyiapkan sebiji kek coklat moist yang eggless tu (sorry tak ingat nama penuh sbb panjang......). Siap dengan topping yang amat sedap dan cantik. Terima kasih K.Aizah....kenangan ini takkan saya lupakan seumur hidup. Dan satu lagi....topping tu memberi inspirasi kepada saya untuk berjinak-jinak nak deco-deco kek. Alat deco ada le sebiji dua dah beli. Tapi dok simpan kat rak saja. Entah bila nak guna pun tak tahu.

Apesal tiba-tiba cerita kek ni. Yang sebenarnya semalam adalah hari ulang tahun kelahiran saya. Satu hadiah yang amat-amat saya hargai, tentulah hadiah dari Abang merangkap Mr. Hubby saya - jam tangan. Terima kasih my beloved hubby atas ingatan dan doa. I luv u.....muah!!!

Khamis, 29 Disember 2011

AYAM BAKAR SOS MUSTARD

Assalamualaikum buat para pembaca. Di Jordan ni menu lauk susah nak dipelbagaikan. Faktor utamanya ikan sukar untuk didapati. Tu pun hanya merasa ikan frozen sahaja, ikan segar-segar macam di Malaysia jauh sekali. Harga ikan pun boleh tahan mahalnya. Jadinya, kalau duduk sini terpaksalah membiasakan diri dengan daging dan ayam sahaja. Pusing-pusing itu sahajalah menu lauknya. Oleh kerana sudah bosan dengan ayam masak kari, ayam masak merah, ayam masak kurma, ayam goreng berempah, nasi ayam ataupun nasi arab lauk ayam, maka hari ni nak tukar selera buat ayam bakar pula. Saya namakan masakan ni......Ayam Bakar Sos Mustard. Sebabnya menggunakan sos mustard sebagai perencah dalam masakan ayam bakar ni. Resepi ni saya dapat dari seorang kenalan Arab. Tapi ikut kaedah asalnya bakar atas arang. Tapi musim-musim sejuk ni, tak kuasalah pulak saya nak memanggang ayam ni menggunakan arang. Jadinya saya bakar ayam ni menggunakan oven sahaja.

RESEPI AYAM BAKAR SOS MUSTARD




BAHAN :

1/2 kilo ayam
4 sudu besar sos mustard
2 sudu besar cuka masakan

2 biji bawang besar
1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar kunyit serbuk
Garam secukup rasa


CARA :
1. Potong ayam sederahana besar dan kelar-kelarkan.
2. Blend bawang dan lada hitam bersama-sama.
3. Gaulkan bawang, lada hitam, sos mustard, cuka, garam, kunyit bersama-sama.
4. Perapkan bahan yang digaul tadi bersama ayam selama 2-3 jam.
5. Letakkan ayam dalam loyang dan bakar dalam oven menggunakan suhu 170 degree selama 1 jam 15 minit.
6. Hidangkan bersama nasi panas dan salad tomato berserta timun. Enak juga dihidangkan bersama air asam.

SELAMAT MENCUBA...untuk menu yang amat mudah dan lazat ini. 



Rabu, 28 Disember 2011

LOMPAT TIKAM VERSI SUSU

Hari dah malam.....tapi perut tak tahu kenyang budak-budak kat rumah ni. Bukan setakat budak-budak, mak budak pun sama lapar ....Tambah pulak dengan musim sejuk ni, lagilah berkeroncong  perut tu. Dari balik sekolah tadi sampailah ke malam asyik request nak lompat tikam. Dah tu pulak sesedap rasa je budak-budak ni nak bagi nama - tikam pelompat...katak lompat (tak sanggup nak dengar). Diberi nama katak lompat sebab dia orang kata ada warna hijau. Tak sampai hati rasanya nak biar tidur termimpi-mimpikan lompat tikam. Maka, buatlah lagi lompat tikam entah kali yang ke berapa pun tak tahu ni. Asal resepi ni saya cedok dari kakfida@myresipi. Tapi disebabkan santan yang berkali ganda mahal kat Jordan ni, maka santan tu saya tukar dengan susu. Maap ye K.fida sesuka hati saya je nak oter2 resepi K.Fida ni. Susu berlambak-lambak dijual di sini dan harganya masih dlm kemampuan kalau nak beli berkotak-kotak pun. Jom kita tengok resepi lompat tikam yang saya buat. Siapa agaknya yang sudi nak tengok resepi saya ni.

LOMPAT TIKAM VERSI SUSU

Lapis hijau :
1300 ml air
100 gm tepung beras
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh pewarna hijau

Lapis putih :
1000 ml susu cair
200 ml air
70 gm tepung beras
1 sudu teh garam

Air gula :
1000 ml air
200 gm gula pasir
70 gm gula merah
Sedikit daun pandan disimpul 

CARA :
1. Blend kesemua bahan lapisan hijau, dan masak atas api. Kacau sehingga pekat dan tuang ke dalam bekas. Biarkan sejuk.
2. Blend kesemua bahan lapisan putih, dan masak atas api. Kacau sehingga pekat dan tuang ke atas lapisan hijau tadi. Tuang secara perlahan-lahan. Caranya letakkan sudip atas lapisan hijau sambil dituang secara perlahan-lahan untuk mengelakkan lapisan hijau mengalami "kecederaan". Sejukkan.
3. Masakkan air gula.
4. Hidangkan bersama air gula.
5. Untuk rasa yang lebih memukau selera, simpan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA...untuk resepi yg amat mudah ni,semudah ا ب ت .

Isnin, 26 Disember 2011

KEMAHIRAN MEMBACA (i)

Saya mempunyai anak yang baru nak mengenal alam persekolahan. Kadang-kadang pening juga memikirkan bagaimanakah cara untuk membantunya agar boleh mahir membaca. Di sini saya ingin berkongsi satu artikel yang saya baca dari www.iluvislam.com  tentang  cara-cara untuk membentuk kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak. Semoga artikel ini dapat memberi panduan kepada ramai ibu bapa bagaimakah cara untuk mengajar anak-anak mereka agar mahir membaca.

MEMBENTUK KEMAHIRAN MEMBACA KANAK-KANAK
SUMBER : Zahir Zainudin dlm www.iluvislam.com

Kata orang bijak pandai, "Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan." Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa.Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi
Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan "mama" dan "papa". Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya. Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat.Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :
  • Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.
  • Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.
  • Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, "Ni apa?" atau "Apa tu?" Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.
Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah.Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak
Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :
  • Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.
  • Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.
  • Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.
  • Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.
  • Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.
  • Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.
  • Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.
  • Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.
Kesan tidak tahu membaca
1- Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.
2- Pengaruhi minat belajar. Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah.Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.
3- Tidak mahu belajar. Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar.
Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.
4- Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk. Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.
5- Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba. Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang.
Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca?
Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.
0 hingga 2 ½ tahun
  • mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
  • belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
  • kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.
  • rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.
  • kosa kata berkembang sehingga 270.
2 ½ hingga 4 ½ tahun
  • peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
  • terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
  • perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
  • kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.
  • pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
  • mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.
4 ½ hingga 7 tahun
  • perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
  • kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
  • corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
  • mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.
Walau bagaimana pun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Membantu kanak-kanak membaca
Mengajar kanak-kanak berminat dengan membaca adalah sangat penting. Terdapat beberapa panduan yang mudah bagi melaksanakan usaha anda.
  1. Jadikan membaca satu tabiat. Jemput kanak-kanak membaca dengan anda setiap hari. Bantu anak anda membaca dari kiri ke kanan dan memahami setiap perkataan yang dikatakannya, dari satu perkataan ke satu perkataan.
  2. Bacakan buku yang sukai kanak-kanak berkali-kali. Mereka akan mempelajari perkataan baru dan mengingat cerita yang mereka sukai. Seterusnya akan diceritakan kepada rakan-rakannya pula.
  3. Bacakan cerita dengan rentak perkataan yang berkaitan dan ulang beberapa kali.Contohnya perkataan "terkejut." Tunjukkan bagaimana mimik muka dan nada suara "terkejut" kepada anak anda. Tunjukkan perkataan demi perkataan sepanjang sesi membaca berkenaan.
  4. Bincangkan perkataan baru dan buatkan mereka bermain-main dengan perkataan itu. Contohnya: Rumah yang besar ini adalah istana. Siapa yang kamu fikir akan tinggal di istana?
Jika ada gambar, tanya apa yang dilihat dan kaitannya dengan cerita berkenaan. Bacakan buku yang mempunyai pelbagai jenis cerita kanak-kanak seperti kisah sirah nabi, kamus bergambar, puisi dan buku-buku bermaklumat yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda yang membaca blog ini.

ULANG TAHUN PERKAHWINAN KE-12

Hari ni hari ulang tahun perkahwinan saya dan Abang untuk kali yang ke-12.

Alhamdulillah syukur sangat-sangat kerana Allah memberi nikmat jodoh yang panjang sehingga hari dan saat ini. Semoga jodoh saya dan Abang diperpanjangkan sehingga hari akhirat, amin....
Jodoh kami keluarga yang tentukan kerana masing-masing tak pandai nak berkapel-kapel seperti budak-budak zaman sekarang. Alhamdulillah....bercinta pun lepas kawen. Usia pertunangan setahun kerana saya ketika itu masih belum tamat belajar lagi dan Abang pun baru nak menapak mencari kerja setelah tamat belajar.
Lepas kawen kami berdua terus berhijrah ke Negeri 9. Hampir 8 tahun kami di Negeri 9 mencari pengalaman kehidupan di samping mencari rezeki di sana.
Dan akhirnya berhijrah ke Selangor pula dan rasanya akan menjadi penduduk tetap Selangor sebab dah beli rumah di sana.
Dan sekarang Alhamdulillah Allah memberi peluang untuk kami menjalani kehidupan sementara di Dataran Syam.


Ahad, 18 Disember 2011

BLUBERRY CHEESE CAKE BERPERISA MANGGA

Slm...hari ni dilalui dgn perkara biasa-biasa sahaja. Memasak, mengemas, mendobi dan juga lepak-lepak tengok tv. Rancangan tv yg paling saya sukai tentulah Fatafeat. Fatafeat ni sebuah rancangan masak-masak di rantau Arab. Fatafeat bukan sekadar menyajikan resepi Timur Tengah, tetapi turut menyajikan resepi-resepi dari Barat. Kalau kat Malaysia skrg dok femes master chef, tetapi kat sini femes dgn star chef.

Menu menarik hari ni? Membaking ciskek lagi....BLUEBERRY CHEESE CAKE, tapi yg ni saya taruk  perisa mangga. Topingnya tetap letak blueberry sbb kat Jordan ni tak de kebun mangga. Yang banyak kebun zaitun, takkan saya nak letak buah zaitun pulak. Ngeee.....tak dpt bayangkan rasanya klau ciskek letak buah zaitun. Boleh pening lalat agaknya.

BLUEBERRY CHEESE CAKE

BAHAN :

Base :
1. 50 gm tea biskut
2. 100 gm marjerin

Kek :
240 gm cream cheese
80 gm gula halus
2 biji telur gred C
200 ml whipping cream
135 ml yogurt perisa asli
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar serbuk perisa mangga (Kalau kat Malaysia ada jenama Tang)


CARA :

Untuk base :
1. Hancurkan biskut dan gaul bersama mentega yg telah cair.
2. Kemudian tekan-tekan dan padatkan dlm loyang spring foam.
3. Simpan dlm peti sejuk.

Untuk adunan kek :
1. Putar cream cheese bersama telur hingga sebati.
2. Masukkan gula halus dan putar lagi hingga sebati.
3. Masukkan whipping cream, yogurt, tepung dan serbuk perisa mangga. Putar hingga sebati.
4. Tuang adunan ke loyang.
5. Bakar cara bain marie (Loyang letakkan atas dulang pembakar dan masukkan air panas  dlm dulang tersebut). Bakar pada suhu suhu 140 degree selama 1 jam 10 minit.
6. Setelah masak biarkan dulu dlm oven selama sejam.
7. Kemudian simpan dlm peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam. Nak lagi sedap simpanlah semalaman.

Warna ciskek ni agak oren-oren gitu, bukan warna ciskek yg biasa dilihat tu. Sesiapa yg allergic dgn warna oren, tak payah le letak serbuk mangga tu.

Resepi ni saya rujuk dlm blog http://hanamemories.blogspot.com - resepi marble cheese cake. Tapi saya putaq-belitkan jadi blueberry cheese cake sbb malas nak mermable-marble. Jus lemon dan lemon zest pun saya tak letak. Ampun ye Cikgu Hana.....SELAMAT MENCUBA bg yg belum mencuba. Nyum..nyum..aktiviti menambah spare part kat perut.

Sabtu, 17 Disember 2011

ROTI OH ROTI

Fuh...saat mata dah hampir-hampir nak terlelap ni, baru terasa kepenatan setelah seharian "bekerja" tanpa henti.Apa le agaknya koje yg saya buat ni? Kerja kedai dobi? Jawapannya, 2 hari sekali. Tukang sapu sampah? Jawapannya, hari-hari. Tukang masak? Ye betul, hari ni saya ambil tender menguli doh-doh roti. Bukan utk pasaran komersial ye, tapi utk pelanggan tetap yg ada kat rumah ni saja.....Dari pagi sampailah ke malam meroti saja saya hari ni. Maklumlah org baru nak belajar-belajar buat roti sendiri, teruja sesangat sampai sakit-sakit badan dah ni. Tapi best...tengok hasil tangan sendiri dan jualan pula laku utk pelanggan tetap kat rumah ni. Terima kasihlah kpd penyumbang resepi dan petua-petua yg diperturunkan utk buat roti. Antara blog yg saya "study" utk buat roti ialah http://jintanmanis.blogspot.com, http://yatiememories.blogspot.com, http://tiffinbiru.com, http://fromintankitchen.blogspot dan juga laman-laman youtube yg paparkan cara nak bentukkan pelbagai jenis roti. Ada roti silang, roti ulat bulu (serem je bunyi), croissant dan roti bulat-bulat tu. Jasa penyumbang-penyumbang resepi yg tak kedekut ilmu amat-amat saya hargai. Semoga pahala anda dlm menyumbang ilmu dikira sebagai amal jariah. Amin.....


Betapa seronoknya berjaya buat roti walaupun tanpa bread maker.



RESEPI ROTI SAYA

BAHAN :
250 gm tepung gandum (sebab tak de tepung high protein. Kalau ada lebih baik guna tepung jenis ni)
10 gm yis
1/2 sudu teh baking powder
2 sudu besar water roux
2 sudu besar shortening
2 sudu besar susu tepung
2 sudu besar marjerin atau minyak
4 sudu besar gula
150 ml air suam

Untuk sapuan :
1 biji telur, sedikit madu, sedikit susu cair (dikocok sekali)
sedikit marjerin.

Cara nak buat water roux :
50 tepung gandum dan 250 ml air.
Kacau atas api sehingga pekat dan sejukkan.

CARA :
1. Tepung, yis dan baking powder digaul sebati.
2. Masukkan water roux dan shortening, sebatikan.
3. Masukkan marjerin atau minyak. Jadikan adunan seperti bread crumbs.
4. Susu dan gula dibancuh bersama air suam.
5. Tuang air suam tadi sedikit demi sedikit ke dalam tepung. Jadikan adunan seperti doh.
6. Uli hingga doh tak melekat di tangan. Jika melekat tambah tepung, jika kurang tambah air.
7. Masukkan doh ke dalam plastik dan ramas-ramaskan doh sekitar 8-10 minit.
8. Keluarkan doh dan uli semula.
9. Perap doh selama 45 minit atau naikkan sekali ganda.
10. Bentukkan roti.
11. Biarkan roti yang telah dibentuk selama 20-40 minit (Jangan lebih 40 minit kerana nanti sarangnya akan jadi besar-besar).
12. Sapu permukaan roti dengan telur,susu dan madu yang telah dikocok. Ini untuk menghasilkan permukaan roti yang berkilat dan kekuningan.
13. Bakar dalam oven menggunakan suhu 170 selama 20 minit.
14. Setelah masak, keluarkan dari oven dan sapu dengan marjerin untuk roti yang lebih berkilat dan lembut. SELAMAT MENCUBA.


Jumaat, 16 Disember 2011

GEMBIRA RASA HATI

Salam Jumaat semua dan salam juga saya tujukan khas buat K.Yatie, tuan punya blog http://yatiememories.blogspot.com. Hari ni saya buka blog dan ternampak K.Yatie jadi followers saya. Terima kasih saya ucapkan dan rasa sungguh terharu kerana K.Yatie sudi jadi followers saya meskipun K.Yati dah terkenal sebagai blogger masakan. Seringkali blog K.Yatie saya tatap dan jadikan rujukan untuk resepi-resepi baru. Teruskan berblog K.Yatie utk saya dan lain-lain jadikan rujukan dlm bidang masakan. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan.

Gembiranya saya hari ni kerana demam dah beransur pulih dan juga K.Yatie, tuan punya blog masakan terkenal- http://yatiememories.blogspot sudi jadi followers saya (followers baru seciput je ni). Dlm kepala mulalah memikirkan resepi-resepi yg nak dicuba try test. Tapi hari ni masak besa2 je sebab ada undangan ke rumah Nadia dan Poji yg baru menimang cahayamata pertama. Jom kita serbu rumah ummu dan abu Fateh.

Rabu, 14 Disember 2011

Hari ni 15/12/2011- hari ulang tahun kelahiran anakanda saya yang pertama, Muhammad Anas. SELAMAT HARI JADI. SEMOGA MAMPU MENJADI ANAK SOLEH, PENYEJUK HATI KEDUA IBU BAPA. SEMOGA DIKURNIAKAN AKAL FIKIRAN YANG CERDAS, KEBAIKAN AKHLAK, TUBUH BADAN YANG SIHAT DAN MURAH REZEKI SELALU.

Hari ni saya demam lagi, dan tak de mood nak jalankan aktiviti masak-memasak  yang special sikit. Boleh lepas masak yang wajib-wajib dah kira syukur dah tu. Untuk kek hari jadi Anas, tak pelah postpone dulu, tunggu saya betul-betul sihat barulah jalankan aktiviti baking-membaking. Sebenarnya hati dok geram nak try meroti. Semalam K.Aizah ada hantar macam-macam jenis roti. Sedap pulak tu. K.Aizah buat roti tu berpandukan blog Yatiememories. Nanti dah sihat, saya nak study resepi tu dan nak try buat roti yang macam-macam rupa tu. Boleh anak-anak bawa bekal ke sekolah. Nak tunggu BM lambat lagi kot baru dapat. Tapi Abang dah bagi "janji manis" nak beli BM. Hu..best-best. "I lap U laling".

APAM GULA HANGUS

Orang kata, bukan sebarang orang yang kata le...tapi mengikut orang-orang yang pakar dalam bidang masakan, resepi yang sama, tapi kalau bakar akan dinamakan kek sarang semut, tapi kalau dikukus akan dinamakan apam gula hangus. Tapi saya kurang setuju untuk namakan masakan ini sebagai kek sarang semut sebab tak nampak pun sarangnya. Lebih sesuai dinamakan apam gula hangus. Resepi asal kukus, tapi saya disebabkan saya malas nak mengeluarkan periuk kukus yang besar gedabak tu, maka saya bakar saja. Lagipun oven dah tersedia, cuma masukkan adunan je. Petik sana, petik sini dah boleh jalan proses masak. Resepi ni saya rujuk dalam myresipi. Jom kita tengok resepinya.

APAM GULA HANGUS

BAHAN :
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
2 biji telur
2 sudu besar marjerin
2 sudu besar susu pekat
1/2 cawan minyak sayuran - saya guna minyak jagung
1 sudu teh soda bikarbonat
1 1/2 cawan tepung gandum

CARA :
1. Masak gula atas api. Buka api kuat dan biar gula cair serta berbuih-buih. Jangan gabra atau panik kerana asap-asap akan memenuhi ruang dapur anda. Setelah semua gula kelihatan cair, tutup api dan tuang sedikit demi sedikit air panas. Awas jangan pulak jengul kepala ke periuk, kerana air gula akan terpercik. Jadi, nak tuang air panas tu mesti secara berhati-hati. Slow motion gitu...Buka semula api dan masak hingga gula kembali cair kerana selepas kita masukkan air panas, ada gula yang beku semula. Biarkan air gula ni sejuk.
2. Telur, marjerin, susu dan minyak diblender bersama-sama. Blend ni mesti cukup 3 minit, jangan kurang dari 3 minit.  
3. Masukkan soda dan blender sebentar.
4. Masukkan air gula yang dah sejuk tadi. Pastikan air gula tu sejuk ye, jangan suam-suam apatah lagi panas. Blender lagi hingga sebati.
5. Masukkan tepung sikit-sikit dan blender lagi. Tapi saya tuang aduanan ni ke dalam bekas lain dan kacau tepung hingga sebati sbb kalau blend, adunan yang terlalu pekat ditakuti akan merosakkan blender anda.
6. Gliskan loyang dengan marjerin dan taburkan tepung. Tuang adunan ke dalam loyang.
7. Kalau nak kukus boleh kukus selama 45 minit dengan api sederhana atau sehingga masak.
8. Kalau nak bakar boleh bakar selama 50 minit dengan api bawah sahaja. Suhu 160 degree.
9. Sejukkan sebelum dipotong. Sedap juga dimakan panas-panas.

Selamat mencuba dengan resepi yang siap dengan petua-petuanya sekali. Rasanya ? Mengikut kata orang yang pernah merasa, sedap dan sesuai je dengan kemanisannya. Tidak terlalu manis.

Selasa, 13 Disember 2011

MINGGU KESAKITAN DI MUSIM SEJUK

Minggu ni masuk minggu ke-2, ahli keluarga dilanda kesakitan pada musim sejuk kali ni-Disember 2011. Bermula dengan Abang muntah-muntah (bukan mengandung ye), kemudian diikuti Afnan cirit-birit dan Auni juga muntah-muntah. Semuanya bermula pada malam yang sama. Setelah diberi rawatan ubat-ubatan oleh nurse tak bertauliah ni nampak ada pengurangan. Afnan dah mula ke sekolah esoknya. Tapi bila balik, katanya cikgu cakap esok jangan datang sekolah. Mujur le esoknya dia tidak ke sekolah sebab cirit-birit semula. Mau tak mau terpaksa bawa juga ke klinik sebab tengok dah semacam dia orang ni. Klinik dekat saja dengan rumah. Klinik Al Manar, jalan kaki dalam 3-5 minit dah sampai. Antara salah-satu faktor saya syok duduk sini, kemudahan awam seperti klinik teramat le dekatnya dengan rumah. Kalau kat  Malaysia terpaksa start kereta kalau nak ke klinik. Mujur juga dia orang tak kena cucuk kali ni. Just bagi ubat makan saja. Auni seperti biasa sampai klinik akan meraung sebab dah fobia banyak kali kena cucuk. Sesuatu yang saya tak suka cara rawatan kat sini, senang benar nak cucuk-mencucuk. Kalau kat M'sia jarang-jarang sekali nak cucuk pesakit, seboleh-bolehnya diberi ubat secara makan dulu (pengamatan seorang pesakit yang tak mengaji bidang kedoktoran).

Abang, Afnan dan Auni dah sihat, Anas pula cirit-birit. Banyak hari juga dia tak ke sekolah. Afnan pun saya masih rehatkan di rumah, sebab nak bagi dia betul-betul cergas dulu. Maka Atif  keseoranganlah dia ke sekolah. Mujur dia tak banyak kerenah.

Anas dan Afnan dah sihat, hari ni Atif pulak...demam. Sebelum tu cirit-birit juga, tapi cepat-cepat saya suapkan ubat.

Dan semalam Auni demam semula. Takut betul dengan kejadian Auni yang menggigil badan dia secara tiba-tiba masa saya nak salin pampers. Abang pulak tak de di rumah masa tu, pergi jumpa kawan Arab. Call K.Aizah datang rumah. K.Aizah suruh bukak semua baju yang tebal-tebal dan lepas bagi ubat, dia ok. Tak pernah lagi saya mengalami kejadian anak-anak menggigil mcm ni. Naik takut saya....Dan hari ni masih demam tapi demam mcm biasa, tak de menggigil lagi. Alhamdulillah, segala puji bg Allah yg berkuasa memberi kesakitan dan berkuasa juga menyembuhkan kesakitan. Bukan ubat, bukan doktor. Ubat dan doktor hanya ikhtiar manusia. Bomoh apatah lagi....

Alhamdulillah bersyukur sangat-sangat kepada Allah, setakat ni saya masih dikurniakan kesihatan yang baik meskipun semua ahli keluarga dah kena penangan kesakitan pada musim sejuk ni. Dapatlah saya jadi nurse tak bertauliah untuk jaga dan urus keluarga. Kalau saya yang sakit....huh alamat tak taulah nak kata macam mana. Dah le pesen darah rendah, kalau pergi klinik sah-sah kena masuk air satu botol. Alhamdulillah....Alhamdulillah...Alhamdulillah...sesangat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya.

Hari ni sebelum anak-anak ke sekolah, sempat le juga buatkan lagi kek coklat moist versi muffin yang saya buat semalam tu. Afnan request nak bawa bekal ke sekolah. Sebelum ke sekolah siap pesan, nanti buat kek 1 biji lagi untuk dia. Budak ni sorang memang gemar makan kek-kek dan kuih-muih. Duduk sini jgn gemuk-gedempol sudah ler....Sekian....

Isnin, 12 Disember 2011

BERPAGI-PAGI DENGAN KEK COKLAT MOIST

12.12.2011.
CAK ! SELAMAT PAGI DAN SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-6 UNTUK ANAKANDA MUHAMMAD AFNAN. SEMOGA AFNAN MAMPU MENAPAK SEBAGAI ANAK YANG SOLEH, PENYEJUK HATI KEDUA IBU BAPA. SEMOGA ALLAH MURAHKAN REZEKI AFNAN, DIKURNIAKAN KECERDASAN AKAL FIKIRAN, KEBAIKAN AKHLAK DAN SIHAT TUBUH BADAN. TUTUPKANLAH PANDANGAN MATA HATI AFNAN DARIPADA PERKARA-PERKARA YANG DILARANG OLEH AGAMA-MU YA ALLAH.

Sebenarnya agak fening juga nak pilih kek yang mana nak buat untuk hari jadi Afnan hari ni. Satu jenis nak bawa ke sekolah, kat rumah nak jenis yang lain pulak. Haru-biru budak ni sorang (Mujur tak haru-pink ke, haru-kelabu asap ke). Cheese kek ke ? Chocolate kek ke ? 2 jenis kek ni memang laku kat rumah ni. Kalau yang jenis lain tak berapa laju. So, pepagi bangun lepas solat Subuh, saya dah menggodek kek coklat moist untuk Afnan bawa ke sekolah. Tapi versi yang ni saya letak dalam paper cup, maka jadi le muffin untuk mudah dia agih-agihkan kepada kawan-kawan dia. Lagipun kek ni mudah nak buat, semudah ABC dan dicampur tolak pula dengan masa yang terhad.

RESEPI KEK COKLAT MOIST (VERSI muffin)
Sumber asal : Dari Pn.Munirah Baharom Kongsi Resepi


BAHAN
Bahan A:

1 cawan susu cair
1 cawan gula pasir
1 cawan serbuk koko
1 cawan minyak sayuran - saya guna minyak jagung
3/4 cawan susu pekat
Optional : 1 sudu teh nescafe (saya tambah)
Optional juga : 1 sudu teh jus lemon (untuk hilang rasa muak pada kek)


Bahan B :
4 biji telur saiz M


Bahan C :
3/4 cawan tepung gandum
1 sudu KFC baking powder
1 sudu KFC soda bikarbonat


CARA :
1. Kesemua bahan A dimasak atas api. Masak sehingga gula cair sahaja, tidak perlu mendidih. Dah masak, sejukkan sebentar.
2. Blender telur sehingga kembang.
3. Ayak bahan C bersama-sama.
4. Masukkan bahan B dan bahan C secara berselang-seli ke bahan A. Sebatikan.
5. Tuang ke dalam paper cup yang dialas dengan acuan muffin dan bakar dalam oven menggunakan suhu 170 degree selama 30 minit.

Mudahkan ? Sedia bahan 30 minit, bakar 30 minit. Dah siap.....SELAMAT MENCUBA untuk versi kek yang mudah, cepat dan sedap...Terima kasih kepada penyumbang resepi, Pn. Munirah Baharom.

Ahad, 11 Disember 2011

PERISTIWA DISEMBER

Hari ini 11 Disember 2011. Sejak mempunyai keluarga sendiri, tersusun 4 peristiwa penting untuk diingati setiap kali menjelmanya bulan Disember.
  • 12 Dis hari ulang tahun anak saya yang ke-3, iaitu Afnan.
  • 15 Dis hari ulang tahun anak saya yang pertama, iaitu Anas.
  • 26 Dis hari ulang tahun perkahwinan kami.
  • 30 Dis hari ulang tahun kelahiran saya sendiri.
Kalau nak buat jamuan  untuk semua majlis  ni, huish.......bersusun ni. Yang pastinya setiap tahun walaupun tidak disambut dgn majlis secara besar-besaran, doa untuk memperoleh kebaikan dan kesejahteraan sentiasa dipanjatkan oleh kami suami isteri. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kami sekeluarga hingga ke akhir hayat. Amin....

Psst...psst...Hari ni sebelum tidur Afnan dah request kek hari jadinya untuk esok. Nak bawa ke sekolah katanya. Nanti cikgunya nak bagi topi panjang dan belon utk dia mcm yg kawan2 dia dapat. Itulah harapan, impian dan kegembiraan seorang budak 6 tahun sempena nak sambut hari jadinya.

Jumaat, 9 Disember 2011

CREAM CHEESE SPONGE CAKE

Ciskek yang saya buat ni kira jodoh juga la...sebabnya dgn ciskek ni saya jarang-jarang sekali bertemu jodoh. Cuma sejak akhir-akhir ni saja jodoh saya dengan ciskek agak mudah juga ler. Bak kata orang usaha tangga kejayaan. Sebenarnya resepi asal menggunakan slice cheese. Kalau sesiapa nak tengok resepi asal boleh terjah ke onigiri@myresipi. Tapi  yang ni saya auter2 sendiri guna cream cheese. Cream cheese ni yang saya guna ni berbentuk 3 segi yang biasa orang Arab sapukan pada roti tu. Kandungan bahan pun saya tambah sikit dari resepi asal. Kek ni teksturnya gebus, lembut dan moist. Rasanya lemak yang tak berapa lemak dan manis yang kurang manis. Bagi saya rasanya sedap dan ala-ala sponge kek. Rasa sekali, nak lagi dan lagi dan lagi. Sekali baking menjadi, nak baking lagi dan lagi dan lagi. Terima kasih kepada penyumbang resepi asal walaupun saya durhaka sikit-sikit ikut bahan yang ada kat rumah ni saja. Nama baru yang saya rasa nak bagi ialah CREAM CHEESE SPONGE CAKE sebab letak cream cheese dan teksturnya ala-ala sponge cake:

# Gambar akan dimasukkan kemudian, sebab bila upload asyik ralat je....2 , 3 kali cuba pun ralat je. Apa hal pun tak tahu le.. Tadaaaa...masuk juga gambar yang tak seberapa je ni. Dapnye...ciskek. Jemput tatap semua.....
CREAM CHEESE SPONGE CAKE

CREAM CHEESE SPONGE CAKE.


BAHAN :
7 ketul cream cheese
300 ml susu cair
100 gm marjerin
6 biji telur saiz M- asingkan putih dan kuning telur
100 gm tepung gandum
1 sudu teh esen vanilla
100 gm gula halus


CARA :
1.Blender cream cheese dan susu hingga cream cheese hancur. Panaskan cheese atas api kecil.
2. Masukkan marjerin ke cheese. Kacau sehingga marjerin hancur. Tutup api dan sejukkan sebentar.
3. Sementara itu buat meringue, iaitu putih telur dan gula dipukul dengan kelajuan tinggi hingga likat dan bertanduk. Cara nak tahu meringue anda menjadi atau tidak, terbalikkan bekas. Jika adunan tidak  tumpah maka meringue anda telah menjadi. (Tahniah untuk anda, dan boleh ke langkah seterusnya. Jika meringue tidak menjadi...lupakan saja dan buat meringue lain sehingga menjadi kerana kek ini bergantung kepada kemenjadian meringuenya. Semasa nak mengasingkan putih telur dan kuning telur pastikan bekas dan mixer kering sekering-keringnya, iaitu tidak ada setitis air pun. Pastikan tidak ada setitik pun kuning telur atau kulit telur termasuk ke dalam putih telur tu. Pastikan juga tidak ada benda asing lain yang tercampur dalam putih telur tu.)
4. Pukul kuning telur hingga kembang. Ketepikan.
5. Ayak tepung. Masukkan tepung dan kuning telur secara berselang-seli ke dalam adunan cheese tadi. Kacau hingga sebati. Pastikan adunan tidak berketul-ketul.
6. Kemudian kaupbalikkan adunan tepung dan meringue. Gunakan spatula sahaja. Pastikan adunan sebati dan jangan terlebih kacau. Tuang adunan ke dalam loyang.
7. Bakar cara bain marie, iaitu letakkan loyang ke dalam dulang yang mengandungi air panas. Ketika bakar, suhu pertama naikkan sehingga 170 degree dan bakar selama 20 minit. Kemudian turunkan suhu sehingga 140 degree dan bakar lagi selama 40 minit.
8. Setelah masak, biarkan dahulu di dalam oven dengan pintu tertutup selama 15 minit. Selepas itu, buka sedikit penutup oven dan biarkan dahulu kek di dalam oven selama 15 minit lagi.
9. Keluarkan dari oven dan sejukkan.

Jika tak sabar, potonglah kek tersebut dan boleh terus ngap. Kek ini lebih sedap kalau disimpan semalaman. Biasalah ciskek kan....mana-mana ciskek pun yang disimpan semalaman lebih sedap dan terasa kekejuannya. SELAMAT MENCUBA. Kalau dah cuba tapi tak jadi, sila tinggalkan komen untuk saya bagi tunjuk ajar. Cewah!

SESAWANG YANG BANYAK SAWANG

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh....Salam pagi Jumaat buat pembaca blog yang senyap mahupun yang nyata....Dah lama betul tak menjengah blog ni. Hampir 4 bulan lamanya, lama betul....bukan tak de idea nak menulis dan berkongsi cerita. Cuma waktu...waktu...waktu...terlalu le cemburunya. Ada waktu senggang lebih syok melayani zzzzzz ataupun jalan-jalan window shopping @shopping complex@Irbid. Sesuatu saya harus lakukan-tulislah sesuatu dan jenguklah walaupun cuma  sebentar ke blog ni. Kesian dia ditinggalkan tanpa pesanan dan tanpa bicara. Kesian..kesian...kesian...
Sebenarnya dalam tempoh 4 bulan "ditinggalkan" oleh tuan punya blog,  banyak citrawarna kehidupan yang berlaku di bumi Jordan ini. Saya bercadang nak buat sedikit catatan ringkas di sini agar bila dah pulang ke Malaysia nanti dapatlah juga saya tatap kembali corat-coret kehidupan di sini. Pastinya semua ini menjadi kenangan hidup yang paling indah untuk diingati.

OGOS :

Apa yang berlaku di bulan Ogos ye ? Ketika ini musim panas di Jordan. 1 Ogos tarikh permulaan Ramadhan di sini. Ini kali ke-2 saya dan keluarga berpeluang berpuasa di sini. Sempat juga beberapa kali menunaikan solat terawikh di Masjid Jamiah / Masjid Universiti. Kenangan yang paling tak dapat dilupakan, kalau datang lambat alamatnya terpaksa solat di luar. Tapi macam tak kisah je sebab dapat aircond semulajadi. 10 hari pertama di Jordan, 10 hari pertengahan di Mekah dan Madinah, 10 hari terakhir di Jordan kembali.

Dalam pertengahan bulan Ramadhan kami sekeluarga berpeluang menjadi tetamu Allah kerana mengerjakan umrah bersama-sama K.Aizah sekeluarga dan Arif (adik suami saya). Seronoknya tak terkata walaupun sebelum musafir ke Mekah, banyak dugaan yang ditempuh, antaranya "mainan janji" oleh syarikat Arab yang kami sertai, satu malam berada di sempadan Jordan-Saudi, tidak singgah di Madinah dulu seperti yang dijanjikan, tapi terus ke Mekah. Namun begitu semua ini terubat tatkala berpeluang melihat Baitullah buat pertama kali dan menunaikan ibadah tawaf, saie dan sembahyang fardhu serta terawikh di Masjidil Haram. Biarpun amat letih dalam perjalanan selama hampir 42 jam dengan menaiki bas, Alhamdulillah sangat2 kerana Allah mengurniakan nikmat kekuatan ketika menunaikan umrah buat pertama kali dalam hidup saya. Maklumlah bulan puasa pulak tu....

Sesuatu yang tidak dapat saya lupa, K.Aizah didapati "hilang" pada hari pertama kami tiba di Mekah. Ketika itu kami dah check-in hotel. Pada mulanya kami sekeluarga tidak tahu, sehinggalah saat berbuka puasa, saya meminta Abang mengetuk pintu bilik hotel untuk menanyakan khabar K.Aizah sekeluarga. Alangkah terkejut, kerana K.Aizah dan Ust. Ridzuan tiada dalam bilik, yang ada hanya Nisreen, Iman dan Amjad. Menurut Nisreen, baba mereka pergi mencari mama mereka yang hilang. Sejak tengahari tak balik-balik ke hotel. Apa lagi....kelam-kabut juga kami sekeluarga dan meminta Nisreen serta adik-adiknya berada di bilik hotel kami. Malam itu, Abang dan Arif turut mencari K.Aizah. Sepanjang berada di hotel malam tu, hati saya tidak tenang dan sentiasa berdoa kepada Allah semoga Allah segera "mempertemukan" Ust. Ridzuan dan K.Aizah. Tiba-tiba sekitar jam 11 K.Aizah pulang ke hotel bersama Khaulah dan Nuha dlm keadaan yang keletihan. Syukur sangat2 ke hadarat Ilahi kerana kehilangan K.Aizah hanya selama 11 jam sahaja. Sebenarnya K.Aizah tidak hilang, cumanya tidak ada kenderaan untuk balik ke hotel. Hal ini disebabkan ketika Ramadhan jemaah terlalu ramai seperti musim haji. Ketika nak balik ke hotel terpaksa berebut2 menaiki coaster disebabkan jarak hotel dan masjid yang jauh. Disebabkan jemaah ramai, maka kami yang berbangsa Melayu ni terpaksa berjuangan dengan bangsa Arab untuk mendapatkan coaster. Itulah ceritanya.....

Bagi saya pengalaman mengerjakan umrah ketika Ramadhan adalah suatu perjuangan. Kerana apa saya katakan satu perjuangan ? Pertama, berpuasa pada musim panas ketika suhunya mencecah hampir 50 degree. Kedua, jemaah terlalu ramai seperti musim haji. Dan menurut seorang makcik dari Malaysia yang saya jumpa, katanya jemaah bulan Ramadhan lebih ramai dari haji. Oleh itu, kita terpaksa berebut-rebut sama ada untuk mendapatkan tempat duduk dalam coaster (dah lah coasternya sempit. Dan tak dapat bayangkan mcm mana orang Arab yang besar2 tu nak duduk dlm coaster tu. Kita yang Melayu dan berbadan agak kecil ni pun terasa semputnya....). Ketiga, perjuangan nak dapatkan tempat sembahyang di Masjidil Haram terutamanya ketika solat terawikh, orang terlalu ramai. Amat rugi kalau meninggalkan peluang untuk solat di Masjidil Haram disebabkan pahala yang berlipat kali ganda. Tetapi Alhamdulillah, Allah memberi kemudahan ketika saya solat terawikh-Auni Balqis tidur sampailah hampir habis nak sembahyang barulah dia terjaga. Kalau terjaga pula ada Arab yang memberi jajan. Seronok le dia. Keempat, perjuangan mengerjakan tawaf ketika matahari tegak di kepala. Bukannya jam 12 tengahari pun, baru pukul 7.30 pagi tetapi matahari telah memancarkan keterikan cahayanya. Tapi Alhamdulillah tawaf dapat disudahkan juga dan yang peliknya tidak terasa panas dan dahaga meskipun peluh memercik keluar. Kelima, perjuangan untuk mengambil wuduk kalau wuduk dah terbatal kerana tidak ada tandas yang berdekatan dgn kawasan tawaf. Cerita saya yang terpaksa mengambil wuduk hampir 20 kali kali ketika tawaf juga merupakan satu perjuangan buat saya. Saya terpaksa berpandai-pandai"menyalahgunakan" tempat minum air zam-zam untuk mengambil wuduk di situ. Bagi saya, Allah yang Maha Mengetahui kudrat hambaNya. Malahan tidak pula dimarahi atau dilarang oleh petugas-petugas di situ. Alhamdulillah.....

Cerita hotel pula ? Di Mekah amat2 selesa dan kami dapat memasak ala kadar untuk hidangan berbuka puasa. Di Madinah kurang selesa bagi kami yang berkeluarga kerana kemudahan untuk memasak agak sukar. Namun, Alhamdulillah...bagaimana ujian pun, Allah mengurniakan kami peluang untuk mengunjungi Baitullah dan Madinah. Di Madinah, saya sempat 2 kali mengunjungi Masjid Nabawi. Jarak antara hotel dan masjid memang jauh, dan agak lenguh juga kaki berjalan kerana tidak disediakan kenderaan. Tambahan pula dengan cuaca yang panas membahang. Saya sempat sekali berbuka puasa di masjid, iaitu di kawasan bumbung yang boleh buka dan tutup tu. Rezeki kami dapat juga berbuka puasa dgn pemberian bungkusan nasi, roti dan buah-buahan dari orang ramai yang berbuka puasa di situ. Di Madinah juga saya sempat mengunjungi kedai makan dan kedai runcit pemilik orang Indonesia. Di situ terdapat pelbagai masakan nusantara dan barang2 Asia Tenggara. Saya sempat membeli 2 kotak santan, kacang parpu dan nata de coco. Ada cendol dijual, tapi tak terasa pula nak membeli. Maklumlah bulan puasa, bukan nak makan sangat. Walaupun waktu malam perut tetap terasa kekenyangan.

Sepanjangan perjalanan pulang ke Irbid, saya cuba membayangkan kegetiran Rasulullah dan para sahabat dalam meluaskan syiar Islam untuk pastikan Islam sampai ke bumi Syam. Bagaimana agaknya perjalanan baginda dengan muka buminya yang amat-amat tandus dengan hanya menunggang unta sebagai kenderaan. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana. Terlalu sukar untuk saya membayangkannya. Dan pastinya tanah Saudi yang tandus tetap meninggalkan pengalaman yang amat bermakna buat diri saya. Baitullah tetap kami akan kunjungi jika masih dikurniakan peluang dan ruang. Sekarang ni kalau rindu2kan Baitullah, channel Saudi Quran menjadi halwa mata untuk tatapan.

Nak upload gambar di Mekah, tapi asyik ralat jeh. Boring betul. Nantilah lain masa dan ketika.

10 hari terakhir bulan Ogos, saya membuat persiapan ala kadar untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri berbekalkan keletihan yang masih berbaki setelah pulang mengerjakan umrah di samping peluang 10 hari terakhir bulan Ramadhan.


Amboi mak ! Konon kata nak buat catatan ringkas, tapi ni macam dah menulis 350 perkataan punya karangan ni. Kalah budak nak ambil SEPIEM ni. Tapi pastinya karangan ni banyak kesalahan tatabahasa. Tak pelah cikgu.....He3X.


SEPTEMBER :

Bulan ni saya lalui dengan penuh kemeriahan kerana banyak rumah terbuka yang saya hadiri. Tentunya kunjungan ke rumah-rumah terbuka sekitar Irbid ni dengan beserta rombongan Cik Kiah, iaitu keluarga saya sendiri, keluarga K.Aizah dan keluarga Suriani. Riuh-rendah rumah yang kami kunjungi bukannnya dengan kehadiran tetamu yang ramai, tetapi dengan keramahan dan kebisingan anak-anak kami (depa buat rumah orang macam rumah depa sendiri). Malu pun ada juga dengan tuan rumah. Terasa betapa meriahnya beraya di perantauan berbanding di tempat sendiri kerana boleh katakan hampir setiap hari ada saja rumah terbuka. Bulan ni juga anak-anak dah mula sesi persekolahan dan mereka mula bersekolah di tempat baru.


OKTOBER :

Apa perkara menarik bulan Oktober ye? Bila flash back balik....ada dua berita sedih yang saya terima, iaitu 2 orang kenalan saya kembali ke rahmatullah. Pertama, saya diberitakan bekas rakan sejawatan saya, Puan Nuratiqah Suhaili Leng meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya setelah berperang dengan penyakit SLE hampir 15 tahun lamanya. K.Tiqah merupakan seorang mualaf dan tinggal satu taman dengan saya. Semoga ruhnya dicucuri rahmat Ilahi. Kedua, kenalan yang agak rapat dengan saya ketika saya mengajar di Negeri 9, iaitu Ustazah Khairah Haris. Sungguh-sungguh saya tak sangka setelah kira-kira 4 tahun kami berpisah, Ust. Khairah telah meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Ustazah Khairah banyak memberi nasihat tentang kehidupan. Maklumlah beliau lebih berumur dan lebih banyak pengalaman berbanding saya yang lebih muda. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah buat kedua-duanya.


NOVEMBER :

Seingat saya November saya lalui dengan perkara biasa-biasa sahaja. Pada bulan ini Abang menyambut hari jadinya yang ke? Ke berapa ye? 37 rasanya. Semoga Abang dapat menghabiskan PHdnya dengan penuh cemerlang dunia dan akhirat. Bulan ini juga seorang kenalan di Amman iaitu keluarga pasangan Ust. Syed dan K.Pah menimang cahaya mata Urdun. Saya turut mengunjungi K.Pah berserta keluarga K.Aizah. Saya bila nak menimang cahaya mata Urdun? Tak pelah...beri peluang kepada yang lebih muda untuk memenuhi wad bersalin Irbid ni. Tangguh dulu...balik Malaysia nanti baru keluarkan produk baru. He...he..he...Yang ada kat Jordan ni produk-produk lama untuk dipolish sebersih-bersihnya sebelum balik ke Malaysia. Semoga Allah membantu dengan "tanganNya" dalam saya menangani kerenah anak-anak di sini. Dan yang penting semoga Allah sentiasa memberi saya kesabaran..kesabaran...kesabaran...dlm mendidik amanah Allah ini.

Sekian....wassalam...catatan 4 bulan dalam kandungan.Hari ini dilahirkan seumpama bayi tak cukup sifat. Kalau org mengandung dah melepasi tempoh morning sickness ni.

Ahad, 24 Julai 2011

DONUT BUAT HAL








Doh donut buat hal.....



Salam....cadangnya pagi Ahad ni nak sarapan dengan donut. Sesudah selesai menunaikan solat Subuh, saya pun menguli donut seawal jam 5.15 pagi. Dalam perkiraan jam 7.00 pagi dah boleh buat kerja goreng-menggoreng untuk sarapan anak-anak ke sekolah dan En. Husband saya ke kuliah. Selesai menguli donut saya pun menyambung kembali zzzzz. Dah set jam 7.00 bangun. Dengan hati yang berbunga-bunga dan penuh semangat, sesudah bangun dari zzzzz saya pun tengok kembali doh donut. Alangkah hampanya saya, doh donut tak naik-naik. Di mana kesilapan saya pun masih kurang pasti. Tapi rasa-rasanya dah ikut sukatan yang biasa buat. Cumanya saya tak rujuk catatan, pakai ingat-ingat je sukatannya. Yelah konon-kononya dah pro....Dan ketika blog ini ditulis jam 10.14 pagi, doh donut masih kurang pengembangannya seperti yang diharapkan. Alangkah hampanya saya.....Sarapan anak-anak? Mujurlah laksa yang dimasak malam tadi masih berbaki. Sarapan laksalah anak-anak saya ke sekolah pepagi tadi. PERINGATAN BUAT DIRI SAYA: walaupun rasa dah pandai, tapi buat-buatlah tak pandai kerana jika rasa-rasa dah pandai kemungkinan hasilnya tidak sepandai sepertimana kebiasaannya.

Rabu, 20 Julai 2011

KEBAB DAN AYAM BAKAR ARAB STYLE

Kira-kira 2 minggu yang lalu saya berkesempatan berkunjung ke rumah salah seorang kawan berbangsa Arab. Tujuan ziarah ke rumahnya kali ini, bukan sekadar untuk berziarah, tetapi ingin mengutip sedikit ilmu masakan Arab. Ini adalah kali ke-2 saya sekeluarga berkunjung ke rumahnya. Kawan Arab ni dikenali sebagai Abu Zed, mempunyai isteri berbangsa Romania dan mempunyai 5 orang anak-Zed, Sarah, Hamzah, Sef, Lamis dan bakal lahir lagi seorang anak pada bulan November ini. Saya amat kagum dengan Ummu Zed (panggilan untuk isteri Abu Zed) @ Monica kerana ketika berkahwin dengan Abu Zed, beliau tidak tahu langsung berbahasa Arab. Namun kini, amat fasih berbahasa Arab.

Dalam kunjungan ke rumah beliau untuk kali ini, saya berkesempatan belajar resepi kebab dan juga ayam bakar. Rupa mahupun rasa kebab di Malaysia dan Jordan adalah berbeza. Jika di Malaysia, inti kebab ialah ayam yang dibakar dan dicampur dengan sayur-sayuran. Tetapi di Jordan kebab ialah daging cincang yang disalut pada besi pemanas dan  dibakar, kemudian dimakan bersama roti Arab. Rasanya amat enak dengan pelbagai bahan campuran lain. Di sini sukalah saya berkongsi resepi kebab yang sudah menjadi kegemaran kami sekeluarga.

RESEPI KEBAB (ARAB STYLE) :

BAHAN-BAHAN :
3 kg daging cincang
200 gm lemak daging - dicincang
1 ikat daun baqdunis
# ketiga-tiga bahan dimesin bersama.
3 sudu besar serbuk lada hitam
3 labu bawang besar-diblender
1 labu bawang putih-diblender
CARA :
Kesemua bahan digaul sekali dan disebatikan. Kemudian, kepal-kepalkan daging tadi ke besi pemanas dalam 4 atau 5 ketul. Akhir sekali dibakar. Lemak yang sebati pada daging tadi akan mencair dan lemak juga turut bertindak sebagai "gum paste" kepada daging-daging tadi. SELAMAT MENCUBA....

RESEPI AYAM BAKAR (ARAB STYLE) :

BAHAN-BAHAN :
1 kg dada ayam - dipotong dadu
3 sudu besar sos mustard
Garam secukup rasa
2 sudu besar cuka
2 sudu besar serbuk lada hitam
2 labu bawang besar - dikisar
1 labu bawang putih - dikisar
2 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar perahan jus lemon

CARA-CARA :
Campur kesemua bahan dan perap ayam selama kira-kira 1 jam. Selepas itu bolehlah dibakar. Mudahkan ? SELAMAT MENCUBA.

Jika diberi kesempatan saya ingin belajar memasak pelbagai jenis nasi Arab seperti nasi kabsah, mandy, zubyan dan pelbagai lagi. Juga pelbagai jenis syurbah (sup) dan salatah.

Khamis, 7 Julai 2011

MUSIM PANAS YANG KELIRU

Sekarang di Jordan telah tiba musim panas setelah berlalunya musim sejuk yang terlalu sejuk juga berlalunya musim bunga yang cantik dengan hiasan bunga-bungaan. Oleh kerana pertama kali melalui pengalaman menghadapi musim panas, saya menjadi agak keliru dengan waktu tidur kerana malamnya lebih pendek berbanding siang. Malam hanya kira-kira 8 jam berbanding siang selama 16 jam.  Kerapkali jua situasi tidak cukup tidur  saya hadapi. Akibatnya pengurusan waktu agak kucar-kacir dan saya agak keliru untuk mengatur jadual waktu dengan sebaik mungkin. Dikatakan orang-orang Arab pada musim panas tidak tidur pada waktu malam. Tetapi selepas Subuh mereka akan tidur sepuas-puasnya sehingga Zuhur. Sejauh mana kebenaran fakta ini setakat ini tidak pula dapat saya buktikan kerana saya sendiri tidak membuat pemerhatian. Sepertimana musim sejuk dan musim bunga pada lewat malam saya hanya berkurung di dalam rumah dan hanya keluar rumah seawal 7.30 pagi. Itupun untuk menemankan anak-anak naik van ke sekolah. Mungkinkah selepas ini saya perlu menjadi seperti orang-orang Arab ? Tidak tidur pada waktu malam, tetapi mengqadakan tidur pada waktu siang?  Namun begitu, saya kurang gemar tidur sesudah Subuh. Mana satukah pilihan yang tepat, setakat ini saya masih membuat pertimbangan. Yang penting bagi saya, solat Subuh tidak lewat, dan tidur pun cukup serta pengurusan rumah tangga dapat saya atur dengan sebaik mungkin. Ya Allah, bantulah hamba-Mu dalam menghadapi situasi yang agak keliru ini.  

CERITA HARI JUMAAT DAN SURAH AL-KAHFI



Salam pagi Jumaat....Setiap kali tibanya hari Jumaat satu perkara yang seboleh-bolehnya ingin saya lakukan secara berterusan pada setiap hari Jumaat adalah menghabiskan membaca surah al-Kahfi. Namun begitu, atas faktor kesibukan sejak bergelar isteri dan ibu, kadang-kadang saja saya sempat menghabiskan membaca satu surah ini. Kerap kali juga penyesalan datang bertandang di hati ini. Berbanding semasa saya masih berseorangan dahulu, kerap kali juga saya sempat menghabiskan membacanya. Semoga saya sentiasa beringat bahawa sementara Allah mengurniakan untuk saya peluang dan kesempatan, maka saya perlu merebut peluang tersebut sebaik-baiknya sebelum tibanya waktu kesempitan.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pada usia penghujung 30-an, Allah mengurniakan peluang untuk saya melihat kesan sejarah sepertimana yang diceritakan dalam Surah al-Kahfi. Kebetulan sekarang saya tinggal di Jordan, maka kesan sejarah seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi dapat saya saksikan dengan mata saya sendiri.

Di Jordan, lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak di kawasan Abu Alanda, iaitu berhampiran kawasan perindustrian Sahab. Selama hampir setahun tinggal di sini baru 2 kali saya sempat berkunjung ke sana. Untuk pengetahuan pembaca, antara fadhilat membaca Surah al-Kahfi ialah Nabi S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat". Semoga saya mengambil peringatan tentang fadhilat membaca surah ini dan dapat beristiqamah dengannya. Amin....

Di sini saya ingin berkongsi sedikit fakta sejarah berkaitan Surah Al-Kahfi dengan para pembaca. Al-Quran menceritakan 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah telah melarikan diri ke sebuah gua kerana faktor keimanan dan di gua tersebut, Allah telah menidurkan dalam jangka masa yang lama . Jangka masa tidur mereka adalah selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah). Kisah pelarian 7 pemuda ini bermula apabila mereka terpaksa berhadapan dengan raja yang zalim. Oleh kerana keimanan mereka kepada Allah, 7 pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim tersebut bersama seekor anjing milik mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ. Dengan kuasa Allah mereka ditidurkan selama 309 tahun Qamariah. Apabila mereka terjaga dari tidur yang panjang itu, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan. Pemuda tersebut mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Hal ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).Pemuda tersebut kembali ke gua dan menceritakan kepada rakan-rakannya. Dengan kuasa Allah juga, selepas itu 7 pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut. Kebenaran kisah ini terdapat dalam ayat 9 hingga 26.

Sebenarnya, ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian untuk membuktikan lokasi sebenar berlakunya kisah 7 pemuda tersebut. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakala, penganut kristian menjalankan kajian mereka berdasarkan kitab Bible. Pelbagai hasil kajian dan pandangan telah diberikan untuk menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah kisah ini berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh para alim ulama terdahulu. Perbincangan tersebut telah dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?

 Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Menurut sejarah, Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua pula berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman pemerintahan Maharaja Trojan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trojan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Trojan memerintahkan sesiapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trojan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Wallahualam....

Khamis, 16 Jun 2011

SARAPAN HARI INI



Salam semua....apa ye menu sarapan hari ini? Hari ini saya buat kuih cara manis. Inilah kuih cara pertama saya sejak menjejakkan ke Jordan ni. Sebelum ni bukan tidak ada niat nak membuatnya, tapi oleh kerana acuan kuih cara saya tidak bawa ke sini, maka niat terpaksa ditangguhkan. Rindu nak makan kuih cara ? Tunggu orang bagi je lah...Alhamdulillah 2 minggu lepas, keluarga suami berkesempatan mengunjungi kami di sini. Jadi apa lagi, macam-macam acuan yang saya tidak bawa dulu, saya pesan untuk membawanya sekali termasuklah acuan kuih cara. Saya order 1 saja, tapi dapat 2. Alhamdulillah.....Resepi kuih cara? Jika di Malaysia resepi kuih cara saya taram saja asal nampak mcm kuih cara kira jadi le tu. Tapi sejak banyak masa melayari internet ni, mana lagi resepi yang saya rujuk? Tidak lain tidak bukan dari Mak Cik Myresipi. Hari ni saya mencuba 2 resepi kuih cara. Satunya resepi drp Syahmi@myresipi dan satu lagi drp junjs11@myresipi . Kedua-duanya mempunyai kelainan dari segi rasa, tapi rupa tetap sama sebab tuan yang membuatnya orang yang sama. Terima kasih banyak-banyak kepada penyumbang resepi. Jasa kalian membuatkan kami sekeluarga kekenyangan dengan kuih cara pagi Khamis ni.
kuih cara manis. Jemput makan semua....

Rabu, 15 Jun 2011

TIADA JODOH ATAU JODOH LAMBAT ?

Hari ini dalam sejarah lagi.... Percubaan menghasilkan kuih talam suji untuk kali kedua tidak menjadi. Di mana kesilapan pun, saya tidak tahu. Padahal saya ikut betul-betul resepi yang diberi. Agaknya jodoh saya dengan masak-memasak ni lambat kot. Begitu juga dengan cheese cake, beberapa kali juga saya mencuba barulah menjadi. Rasanya untuk cheese cake (termasuk yang dibakar dan tidak dibakar) kali ke-5 baru menjadi. Tak pelah..yang penting bagi saya, meskipun tidak menjadi, tapi semangat untuk mencuba resepi-resepi ni diharap tidak luntur. Emmmm alahai....

Selasa, 14 Jun 2011

PILIHAN NAMA

Seperti yang dijanjikan, saya ingin mengutarakan sedikit luahan rasa mengapakah tajuk KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN menjadi pilihan untuk blog saya. Saya mendefinisikan maksud frasa ini tidak berdasarkan rujukan kepada mana-mana kamus, namun hanya definisi berdasarkan sedikit cernaan minda saya yang tidak seberapa ini. Kembara ilmu dipilih kerana saya masih dalam pencarian ilmu dunia dan akhirat. Ilmu yang saya dapat InsyaAllah seboleh-bolehnya saya akan cuba kongsikan bersama pembaca untuk manfaat bersama. Segunung harapan sejuta impian bermaksud cita-cita saya yang terlalu tinggi seiring dengan ilmu yang saya dapat. Moga-moga blog ini bukan sekadar cerita kosong dan catatan pengalaman hidup saya, tapi ada "suatu" manfaat  yang dapat saya kongsikan bersama pembaca. Jika tidak ilmu pun yang pembaca dapat, mungkin pembacaan di blog ini boleh dijadikan sebagai hiburan waktu santai. Terima kasih kepada pembaca yang sudi singgah di blog ini dan segala komen yang membina juga saya alu-alukan untuk faedah bersama.

Nama blog saya balqis-ummubalqis pula dipilih sempena mengambil nama puteri sulung saya, iaitu Auni Balqis.

CERITA DONUT



Anak-anak saya amat sukakan donut. Nak diceritakan, percaya ye jangan tak percaya- termasuk hari ini, sudah 3 hari berturut-turut saya menguli doh donut kerana nak membuat donut. Bukan terlebih rajinlah, tapi buat donut 3 hari berturut-turut ni kerana permintaan anak-anak. "Esok ummi buat lagi..." Rajin tak rajin, mahu tidak mahu, buat le juga kerana anak-anak nak makan.

Di Jordan sekarang, musim panas, jadi jam 4 pagi sudah masuk Subuh. Sesudah selesai menunaikan solat Subuh, saya terus menguli doh donut. Jadinya, untuk sarapan sedang elok doh dah naik untuk "bikin" donut. Jika musim sejuk, setelah selesai uli doh, doh mesti diletakkan di hadapan pemanas untuk cepat naik. Jika tidak diletakkan di hadapan pemanas, pagi uli, petang baru boleh makan atau malam uli, pagi baru boleh makan. Biasanya, kalau musim sejuk, malam saya dah siap uli untuk sarapan esoknya. Jadi doh tidak perlu letak di hadapan pemanas untuk cepat naik. 

Jika tidak silap saya sejak berkahwin, sudah acap kali saya cuba untuk membuat donut. Rasanya percubaan untuk buat donut sudah 9 kali, tapi kesemuanya menjadi jamuan tong sampah. Jangan tak tahu ye...tak jadi... Hinggalah percubaan kali-10 barulah donut saya menjadi sejak kami tinggal di Jordan. Perasaan gembira saya sukar untuk digambarkan kerana saya dah pandai buat donut. Suami saya kata : dah duduk Jordan baru pandai buat donut. Pelbagai resepi dari internet saya cuba, tapi satu pun tak menjadi. Mungkin salah tangan yang membuatnya kot. Nak dijadikan cerita, resepi donut yang saya dapat dari ibu mertua saya, barulah menjadi. Selama ini tidak terdetik di hati untuk bertanya resepi donut dari ibu mertua saya, hanya pandai makan je....Dan resepi inilah juga saya buat donut untuk anak-anak saya.

Jika di Malaysia dulu, nak makan donut tak susah, beli saja. Di Jordan ni bukan tidak ada kedai donut, area rumah saya saja ada 2-3 kedai donut, tapi ntah mengapa tidak ada keinginan untuk membeli di kedai donut. Ada satu kedai tu, jalan kaki 3 minit saja sudah sampai kedai donut, tapi tidak pula teringin untuk mencuba membeli donut di situ. Lebih puas buat sendiri. Inilah hikmahnya datang ke Jordan, salah satunya-SAYA SUDAH PANDAI BUAT DONUT. Bagi orang lain mungkin tiada apa-apa istimewanya pandai buat donut, tapi saya rasa sungguh istimewa kerana telah 9 kali saya cuba, hanya percubaan kali yang ke-10 barulah donut saya menjadi.

Betapa sukanya saya, jadi saya nak share resepi donut bersama pembaca sekalian. Saya namakan donut ini DONUT IBUNDA.


Bahan-bahan :

400 gm tepung gandum

1 setengah sudu teh yis kering

1 setengah sudu teh baking powder

Secubit garam

6 sudu besar susu pekat manis

1 sudu teh yogurt asli

4 sudu besar minyak

1 biji telur saiz M

1 cawan air suam


Cara membuat :

Tepung, yis dan baking powder, garam dicampur dan digaul rata. Masukkan susu pekat manis, sebatikan. Masukkan yogurt, sebatikan, Masukkan minyak sebatikan. Gaul dengan tangan hingga jadi seperti serbuk roti. Pukul telur dalam bekas lain, dan masukkan ke dalam doh, sebatikan. Akhir sekali tuang air sedikit demi sedikit. Uli hingga doh tidak melekat di tangan. Perap doh sehingga naik dua kali ganda. Bila doh dah naik, tumbuk-tumbuk untuk keluarkan angin. Bentukkan donut dan goreng. Bila agak sejuk sedikit gaulkan bersama gula halus dan hidangkan.


Doh donut ini juga saya gunakan untuk buat burger Malaysia. Cumanya kena dimasak sambal ikan bilis sebagai inti. Untuk buat kuih pau juga saya gunakan cara yang sama, cuma saya tidak letak susu dan telur. Jadi, dengan bahan yang lebih kurang sama, saya dah pandai buat 3 jenis kuih. Dan ketiga-tiga jenis kuih ini saya pandai buat setelah tinggal di Jordan. Alhamdulillah...rezeki suami dan anak-anak juga.

Ahad, 12 Jun 2011

CATATAN PEMULA

Salam ukhuwah....antara aktiviti masa lapang saya adalah gemar menerjah blog-blog yang berkaitan resepi masakan dan juga blog-blog yang membincangkan isu-isu semasa. Sebahagian besar blog telah saya add di favorites untuk rujukan dan pembacaan saya. Sebenarnya keinginan untuk mempunyai blog sendiri telah lama tersemat di hati. Namun begitu, saya tidak pasti di manakah saya perlu memulakannya. Entah mengapa tiba-tiba datang idea untuk cuba melayari laman blogger. Maka detik dan saat ini tercipta catatan sejarah dalam kehidupan saya-saya telah mempunyai blog sendiri dengan label KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN.  Dalam paparan yang lain InsyaAllah saya akan ceritakan mengapa label ini menjadi pilihan.

Siapakah  saya ?

Saya seorang isteri dan ibu kepada 4 cahaya mata. 3 putera dan seorang puteri. Nama puteri saya yang seorang in ialah Auni Balqis. Kebanyakan label dan pengenalan diri saya, entah mengapa saya amat gemar menggunapakai nama BALQIS, termasuklah address blog ini.

9 bulan yang lalu saya memulakan cuti tanpa gaji kerana mengikut suami melanjutkan pelajaran peringkat PHD di Jordan. Pada fikiran saya, seharusnya saya mengambil peluang cuti panjang ini (selama 3 tahun 29 hari) untuk memantapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu berkaitan masakan.Sebelum ini saya kurang berpeluang untuk hal sedemikian kerana kesuntukan masa ketika bekerja. Justeru, saya mula berjinak-jinak dengan laman Kongsi Resepi dan Myresepi serta pelbagai blog masakan.   Sekalung ucapan terima kasih saya tujukan buat mereka yang tidak kedekut ilmu berkongsi pelbagai resepi dan petua masakan.

Oleh kerana kerjaya saya dulu sebagai guru, secara nalurinya diri ini terasa lompong jika sehari tidak membaca- hidup saya seolah-olah terasa kekosongan seumpama seseorang yang kehilangan orang tersayang. Saya amat suka bahan-bahan bacaan, tidak kiralah buku ke, majalah ke, surat khabar ke, hatta penulisan di internet sekalipun.  Justeru, pelbagai blog yang mengisahkan peristiwa semasa dan percambahan fikiran, seboleh-bolehnya sentiasa saya ikuti pada setiap hari kerana saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Seiring dengan itu, saya turut berasakan bahawa saya perlu sentiasa menulis dan berkongsi idea serta luahan rasa kerana saya takut "kehilangan" salah satu kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran menulis. Maka, Alhamdulillah dengan mempunyai blog ini saya berharap saya boleh berkongsi idea dan fikiran seterusnya, menterjemahkannya ke bentuk penulisan. Ahli linguistik dan guru-guru bahasa (tidak kiralah bahasa apa sekali pun, sama ada Bahasa Melayu ke, Inggeris ke, Arab ke, Mandarin ke) pastinya bersetuju dengan saya bahawa dengan sentiasa menulis, kita akan mahir menulis. Jika tidak selalu menulis, maka secara tidak langsung kita akan "kekok" untuk mula menulis. Jika dulu, saya amat sensitif dan agak marah jika pelajar-pelajar saya sengaja melakukan kesalahan bahasa dalam penulisan mereka. Namun begitu, dalam penulisan blog KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN, saya berpendirian bahawa saya perlu "lari" sedikit dari norma dan kebiasaan keteraturan ketatabahasaan untuk "menghidupkan" penulisan itu sendiri. Saya tidak bercadang untuk mewujudkan blog penulisan ilmiah. Blog ini dicetuskan hanya untuk berkongsi pengalaman dan berkongsi fikiran dengan orang lain dengan gaya penulisan secara santai.

Pembaca yang dihormati, oleh sebab telah kedengaran panggilan-panggilan "kelaparan" dari anak-anak, saya berhenti di sini untuk seketika......

CATATAN POPULAR