Ahad, 12 Jun 2011

CATATAN PEMULA

Salam ukhuwah....antara aktiviti masa lapang saya adalah gemar menerjah blog-blog yang berkaitan resepi masakan dan juga blog-blog yang membincangkan isu-isu semasa. Sebahagian besar blog telah saya add di favorites untuk rujukan dan pembacaan saya. Sebenarnya keinginan untuk mempunyai blog sendiri telah lama tersemat di hati. Namun begitu, saya tidak pasti di manakah saya perlu memulakannya. Entah mengapa tiba-tiba datang idea untuk cuba melayari laman blogger. Maka detik dan saat ini tercipta catatan sejarah dalam kehidupan saya-saya telah mempunyai blog sendiri dengan label KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN.  Dalam paparan yang lain InsyaAllah saya akan ceritakan mengapa label ini menjadi pilihan.

Siapakah  saya ?

Saya seorang isteri dan ibu kepada 4 cahaya mata. 3 putera dan seorang puteri. Nama puteri saya yang seorang in ialah Auni Balqis. Kebanyakan label dan pengenalan diri saya, entah mengapa saya amat gemar menggunapakai nama BALQIS, termasuklah address blog ini.

9 bulan yang lalu saya memulakan cuti tanpa gaji kerana mengikut suami melanjutkan pelajaran peringkat PHD di Jordan. Pada fikiran saya, seharusnya saya mengambil peluang cuti panjang ini (selama 3 tahun 29 hari) untuk memantapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu berkaitan masakan.Sebelum ini saya kurang berpeluang untuk hal sedemikian kerana kesuntukan masa ketika bekerja. Justeru, saya mula berjinak-jinak dengan laman Kongsi Resepi dan Myresepi serta pelbagai blog masakan.   Sekalung ucapan terima kasih saya tujukan buat mereka yang tidak kedekut ilmu berkongsi pelbagai resepi dan petua masakan.

Oleh kerana kerjaya saya dulu sebagai guru, secara nalurinya diri ini terasa lompong jika sehari tidak membaca- hidup saya seolah-olah terasa kekosongan seumpama seseorang yang kehilangan orang tersayang. Saya amat suka bahan-bahan bacaan, tidak kiralah buku ke, majalah ke, surat khabar ke, hatta penulisan di internet sekalipun.  Justeru, pelbagai blog yang mengisahkan peristiwa semasa dan percambahan fikiran, seboleh-bolehnya sentiasa saya ikuti pada setiap hari kerana saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Seiring dengan itu, saya turut berasakan bahawa saya perlu sentiasa menulis dan berkongsi idea serta luahan rasa kerana saya takut "kehilangan" salah satu kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran menulis. Maka, Alhamdulillah dengan mempunyai blog ini saya berharap saya boleh berkongsi idea dan fikiran seterusnya, menterjemahkannya ke bentuk penulisan. Ahli linguistik dan guru-guru bahasa (tidak kiralah bahasa apa sekali pun, sama ada Bahasa Melayu ke, Inggeris ke, Arab ke, Mandarin ke) pastinya bersetuju dengan saya bahawa dengan sentiasa menulis, kita akan mahir menulis. Jika tidak selalu menulis, maka secara tidak langsung kita akan "kekok" untuk mula menulis. Jika dulu, saya amat sensitif dan agak marah jika pelajar-pelajar saya sengaja melakukan kesalahan bahasa dalam penulisan mereka. Namun begitu, dalam penulisan blog KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN, saya berpendirian bahawa saya perlu "lari" sedikit dari norma dan kebiasaan keteraturan ketatabahasaan untuk "menghidupkan" penulisan itu sendiri. Saya tidak bercadang untuk mewujudkan blog penulisan ilmiah. Blog ini dicetuskan hanya untuk berkongsi pengalaman dan berkongsi fikiran dengan orang lain dengan gaya penulisan secara santai.

Pembaca yang dihormati, oleh sebab telah kedengaran panggilan-panggilan "kelaparan" dari anak-anak, saya berhenti di sini untuk seketika......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

CATATAN POPULAR