Khamis, 16 Jun 2011

SARAPAN HARI INI



Salam semua....apa ye menu sarapan hari ini? Hari ini saya buat kuih cara manis. Inilah kuih cara pertama saya sejak menjejakkan ke Jordan ni. Sebelum ni bukan tidak ada niat nak membuatnya, tapi oleh kerana acuan kuih cara saya tidak bawa ke sini, maka niat terpaksa ditangguhkan. Rindu nak makan kuih cara ? Tunggu orang bagi je lah...Alhamdulillah 2 minggu lepas, keluarga suami berkesempatan mengunjungi kami di sini. Jadi apa lagi, macam-macam acuan yang saya tidak bawa dulu, saya pesan untuk membawanya sekali termasuklah acuan kuih cara. Saya order 1 saja, tapi dapat 2. Alhamdulillah.....Resepi kuih cara? Jika di Malaysia resepi kuih cara saya taram saja asal nampak mcm kuih cara kira jadi le tu. Tapi sejak banyak masa melayari internet ni, mana lagi resepi yang saya rujuk? Tidak lain tidak bukan dari Mak Cik Myresipi. Hari ni saya mencuba 2 resepi kuih cara. Satunya resepi drp Syahmi@myresipi dan satu lagi drp junjs11@myresipi . Kedua-duanya mempunyai kelainan dari segi rasa, tapi rupa tetap sama sebab tuan yang membuatnya orang yang sama. Terima kasih banyak-banyak kepada penyumbang resepi. Jasa kalian membuatkan kami sekeluarga kekenyangan dengan kuih cara pagi Khamis ni.
kuih cara manis. Jemput makan semua....

Rabu, 15 Jun 2011

TIADA JODOH ATAU JODOH LAMBAT ?

Hari ini dalam sejarah lagi.... Percubaan menghasilkan kuih talam suji untuk kali kedua tidak menjadi. Di mana kesilapan pun, saya tidak tahu. Padahal saya ikut betul-betul resepi yang diberi. Agaknya jodoh saya dengan masak-memasak ni lambat kot. Begitu juga dengan cheese cake, beberapa kali juga saya mencuba barulah menjadi. Rasanya untuk cheese cake (termasuk yang dibakar dan tidak dibakar) kali ke-5 baru menjadi. Tak pelah..yang penting bagi saya, meskipun tidak menjadi, tapi semangat untuk mencuba resepi-resepi ni diharap tidak luntur. Emmmm alahai....

Selasa, 14 Jun 2011

PILIHAN NAMA

Seperti yang dijanjikan, saya ingin mengutarakan sedikit luahan rasa mengapakah tajuk KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN menjadi pilihan untuk blog saya. Saya mendefinisikan maksud frasa ini tidak berdasarkan rujukan kepada mana-mana kamus, namun hanya definisi berdasarkan sedikit cernaan minda saya yang tidak seberapa ini. Kembara ilmu dipilih kerana saya masih dalam pencarian ilmu dunia dan akhirat. Ilmu yang saya dapat InsyaAllah seboleh-bolehnya saya akan cuba kongsikan bersama pembaca untuk manfaat bersama. Segunung harapan sejuta impian bermaksud cita-cita saya yang terlalu tinggi seiring dengan ilmu yang saya dapat. Moga-moga blog ini bukan sekadar cerita kosong dan catatan pengalaman hidup saya, tapi ada "suatu" manfaat  yang dapat saya kongsikan bersama pembaca. Jika tidak ilmu pun yang pembaca dapat, mungkin pembacaan di blog ini boleh dijadikan sebagai hiburan waktu santai. Terima kasih kepada pembaca yang sudi singgah di blog ini dan segala komen yang membina juga saya alu-alukan untuk faedah bersama.

Nama blog saya balqis-ummubalqis pula dipilih sempena mengambil nama puteri sulung saya, iaitu Auni Balqis.

CERITA DONUT



Anak-anak saya amat sukakan donut. Nak diceritakan, percaya ye jangan tak percaya- termasuk hari ini, sudah 3 hari berturut-turut saya menguli doh donut kerana nak membuat donut. Bukan terlebih rajinlah, tapi buat donut 3 hari berturut-turut ni kerana permintaan anak-anak. "Esok ummi buat lagi..." Rajin tak rajin, mahu tidak mahu, buat le juga kerana anak-anak nak makan.

Di Jordan sekarang, musim panas, jadi jam 4 pagi sudah masuk Subuh. Sesudah selesai menunaikan solat Subuh, saya terus menguli doh donut. Jadinya, untuk sarapan sedang elok doh dah naik untuk "bikin" donut. Jika musim sejuk, setelah selesai uli doh, doh mesti diletakkan di hadapan pemanas untuk cepat naik. Jika tidak diletakkan di hadapan pemanas, pagi uli, petang baru boleh makan atau malam uli, pagi baru boleh makan. Biasanya, kalau musim sejuk, malam saya dah siap uli untuk sarapan esoknya. Jadi doh tidak perlu letak di hadapan pemanas untuk cepat naik. 

Jika tidak silap saya sejak berkahwin, sudah acap kali saya cuba untuk membuat donut. Rasanya percubaan untuk buat donut sudah 9 kali, tapi kesemuanya menjadi jamuan tong sampah. Jangan tak tahu ye...tak jadi... Hinggalah percubaan kali-10 barulah donut saya menjadi sejak kami tinggal di Jordan. Perasaan gembira saya sukar untuk digambarkan kerana saya dah pandai buat donut. Suami saya kata : dah duduk Jordan baru pandai buat donut. Pelbagai resepi dari internet saya cuba, tapi satu pun tak menjadi. Mungkin salah tangan yang membuatnya kot. Nak dijadikan cerita, resepi donut yang saya dapat dari ibu mertua saya, barulah menjadi. Selama ini tidak terdetik di hati untuk bertanya resepi donut dari ibu mertua saya, hanya pandai makan je....Dan resepi inilah juga saya buat donut untuk anak-anak saya.

Jika di Malaysia dulu, nak makan donut tak susah, beli saja. Di Jordan ni bukan tidak ada kedai donut, area rumah saya saja ada 2-3 kedai donut, tapi ntah mengapa tidak ada keinginan untuk membeli di kedai donut. Ada satu kedai tu, jalan kaki 3 minit saja sudah sampai kedai donut, tapi tidak pula teringin untuk mencuba membeli donut di situ. Lebih puas buat sendiri. Inilah hikmahnya datang ke Jordan, salah satunya-SAYA SUDAH PANDAI BUAT DONUT. Bagi orang lain mungkin tiada apa-apa istimewanya pandai buat donut, tapi saya rasa sungguh istimewa kerana telah 9 kali saya cuba, hanya percubaan kali yang ke-10 barulah donut saya menjadi.

Betapa sukanya saya, jadi saya nak share resepi donut bersama pembaca sekalian. Saya namakan donut ini DONUT IBUNDA.


Bahan-bahan :

400 gm tepung gandum

1 setengah sudu teh yis kering

1 setengah sudu teh baking powder

Secubit garam

6 sudu besar susu pekat manis

1 sudu teh yogurt asli

4 sudu besar minyak

1 biji telur saiz M

1 cawan air suam


Cara membuat :

Tepung, yis dan baking powder, garam dicampur dan digaul rata. Masukkan susu pekat manis, sebatikan. Masukkan yogurt, sebatikan, Masukkan minyak sebatikan. Gaul dengan tangan hingga jadi seperti serbuk roti. Pukul telur dalam bekas lain, dan masukkan ke dalam doh, sebatikan. Akhir sekali tuang air sedikit demi sedikit. Uli hingga doh tidak melekat di tangan. Perap doh sehingga naik dua kali ganda. Bila doh dah naik, tumbuk-tumbuk untuk keluarkan angin. Bentukkan donut dan goreng. Bila agak sejuk sedikit gaulkan bersama gula halus dan hidangkan.


Doh donut ini juga saya gunakan untuk buat burger Malaysia. Cumanya kena dimasak sambal ikan bilis sebagai inti. Untuk buat kuih pau juga saya gunakan cara yang sama, cuma saya tidak letak susu dan telur. Jadi, dengan bahan yang lebih kurang sama, saya dah pandai buat 3 jenis kuih. Dan ketiga-tiga jenis kuih ini saya pandai buat setelah tinggal di Jordan. Alhamdulillah...rezeki suami dan anak-anak juga.

Ahad, 12 Jun 2011

CATATAN PEMULA

Salam ukhuwah....antara aktiviti masa lapang saya adalah gemar menerjah blog-blog yang berkaitan resepi masakan dan juga blog-blog yang membincangkan isu-isu semasa. Sebahagian besar blog telah saya add di favorites untuk rujukan dan pembacaan saya. Sebenarnya keinginan untuk mempunyai blog sendiri telah lama tersemat di hati. Namun begitu, saya tidak pasti di manakah saya perlu memulakannya. Entah mengapa tiba-tiba datang idea untuk cuba melayari laman blogger. Maka detik dan saat ini tercipta catatan sejarah dalam kehidupan saya-saya telah mempunyai blog sendiri dengan label KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN.  Dalam paparan yang lain InsyaAllah saya akan ceritakan mengapa label ini menjadi pilihan.

Siapakah  saya ?

Saya seorang isteri dan ibu kepada 4 cahaya mata. 3 putera dan seorang puteri. Nama puteri saya yang seorang in ialah Auni Balqis. Kebanyakan label dan pengenalan diri saya, entah mengapa saya amat gemar menggunapakai nama BALQIS, termasuklah address blog ini.

9 bulan yang lalu saya memulakan cuti tanpa gaji kerana mengikut suami melanjutkan pelajaran peringkat PHD di Jordan. Pada fikiran saya, seharusnya saya mengambil peluang cuti panjang ini (selama 3 tahun 29 hari) untuk memantapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu berkaitan masakan.Sebelum ini saya kurang berpeluang untuk hal sedemikian kerana kesuntukan masa ketika bekerja. Justeru, saya mula berjinak-jinak dengan laman Kongsi Resepi dan Myresepi serta pelbagai blog masakan.   Sekalung ucapan terima kasih saya tujukan buat mereka yang tidak kedekut ilmu berkongsi pelbagai resepi dan petua masakan.

Oleh kerana kerjaya saya dulu sebagai guru, secara nalurinya diri ini terasa lompong jika sehari tidak membaca- hidup saya seolah-olah terasa kekosongan seumpama seseorang yang kehilangan orang tersayang. Saya amat suka bahan-bahan bacaan, tidak kiralah buku ke, majalah ke, surat khabar ke, hatta penulisan di internet sekalipun.  Justeru, pelbagai blog yang mengisahkan peristiwa semasa dan percambahan fikiran, seboleh-bolehnya sentiasa saya ikuti pada setiap hari kerana saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Seiring dengan itu, saya turut berasakan bahawa saya perlu sentiasa menulis dan berkongsi idea serta luahan rasa kerana saya takut "kehilangan" salah satu kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran menulis. Maka, Alhamdulillah dengan mempunyai blog ini saya berharap saya boleh berkongsi idea dan fikiran seterusnya, menterjemahkannya ke bentuk penulisan. Ahli linguistik dan guru-guru bahasa (tidak kiralah bahasa apa sekali pun, sama ada Bahasa Melayu ke, Inggeris ke, Arab ke, Mandarin ke) pastinya bersetuju dengan saya bahawa dengan sentiasa menulis, kita akan mahir menulis. Jika tidak selalu menulis, maka secara tidak langsung kita akan "kekok" untuk mula menulis. Jika dulu, saya amat sensitif dan agak marah jika pelajar-pelajar saya sengaja melakukan kesalahan bahasa dalam penulisan mereka. Namun begitu, dalam penulisan blog KEMBARA ILMU SEGUNUNG HARAPAN SEJUTA IMPIAN, saya berpendirian bahawa saya perlu "lari" sedikit dari norma dan kebiasaan keteraturan ketatabahasaan untuk "menghidupkan" penulisan itu sendiri. Saya tidak bercadang untuk mewujudkan blog penulisan ilmiah. Blog ini dicetuskan hanya untuk berkongsi pengalaman dan berkongsi fikiran dengan orang lain dengan gaya penulisan secara santai.

Pembaca yang dihormati, oleh sebab telah kedengaran panggilan-panggilan "kelaparan" dari anak-anak, saya berhenti di sini untuk seketika......

CATATAN POPULAR