Ahad, 24 Julai 2011

DONUT BUAT HAL








Doh donut buat hal.....



Salam....cadangnya pagi Ahad ni nak sarapan dengan donut. Sesudah selesai menunaikan solat Subuh, saya pun menguli donut seawal jam 5.15 pagi. Dalam perkiraan jam 7.00 pagi dah boleh buat kerja goreng-menggoreng untuk sarapan anak-anak ke sekolah dan En. Husband saya ke kuliah. Selesai menguli donut saya pun menyambung kembali zzzzz. Dah set jam 7.00 bangun. Dengan hati yang berbunga-bunga dan penuh semangat, sesudah bangun dari zzzzz saya pun tengok kembali doh donut. Alangkah hampanya saya, doh donut tak naik-naik. Di mana kesilapan saya pun masih kurang pasti. Tapi rasa-rasanya dah ikut sukatan yang biasa buat. Cumanya saya tak rujuk catatan, pakai ingat-ingat je sukatannya. Yelah konon-kononya dah pro....Dan ketika blog ini ditulis jam 10.14 pagi, doh donut masih kurang pengembangannya seperti yang diharapkan. Alangkah hampanya saya.....Sarapan anak-anak? Mujurlah laksa yang dimasak malam tadi masih berbaki. Sarapan laksalah anak-anak saya ke sekolah pepagi tadi. PERINGATAN BUAT DIRI SAYA: walaupun rasa dah pandai, tapi buat-buatlah tak pandai kerana jika rasa-rasa dah pandai kemungkinan hasilnya tidak sepandai sepertimana kebiasaannya.

Rabu, 20 Julai 2011

KEBAB DAN AYAM BAKAR ARAB STYLE

Kira-kira 2 minggu yang lalu saya berkesempatan berkunjung ke rumah salah seorang kawan berbangsa Arab. Tujuan ziarah ke rumahnya kali ini, bukan sekadar untuk berziarah, tetapi ingin mengutip sedikit ilmu masakan Arab. Ini adalah kali ke-2 saya sekeluarga berkunjung ke rumahnya. Kawan Arab ni dikenali sebagai Abu Zed, mempunyai isteri berbangsa Romania dan mempunyai 5 orang anak-Zed, Sarah, Hamzah, Sef, Lamis dan bakal lahir lagi seorang anak pada bulan November ini. Saya amat kagum dengan Ummu Zed (panggilan untuk isteri Abu Zed) @ Monica kerana ketika berkahwin dengan Abu Zed, beliau tidak tahu langsung berbahasa Arab. Namun kini, amat fasih berbahasa Arab.

Dalam kunjungan ke rumah beliau untuk kali ini, saya berkesempatan belajar resepi kebab dan juga ayam bakar. Rupa mahupun rasa kebab di Malaysia dan Jordan adalah berbeza. Jika di Malaysia, inti kebab ialah ayam yang dibakar dan dicampur dengan sayur-sayuran. Tetapi di Jordan kebab ialah daging cincang yang disalut pada besi pemanas dan  dibakar, kemudian dimakan bersama roti Arab. Rasanya amat enak dengan pelbagai bahan campuran lain. Di sini sukalah saya berkongsi resepi kebab yang sudah menjadi kegemaran kami sekeluarga.

RESEPI KEBAB (ARAB STYLE) :

BAHAN-BAHAN :
3 kg daging cincang
200 gm lemak daging - dicincang
1 ikat daun baqdunis
# ketiga-tiga bahan dimesin bersama.
3 sudu besar serbuk lada hitam
3 labu bawang besar-diblender
1 labu bawang putih-diblender
CARA :
Kesemua bahan digaul sekali dan disebatikan. Kemudian, kepal-kepalkan daging tadi ke besi pemanas dalam 4 atau 5 ketul. Akhir sekali dibakar. Lemak yang sebati pada daging tadi akan mencair dan lemak juga turut bertindak sebagai "gum paste" kepada daging-daging tadi. SELAMAT MENCUBA....

RESEPI AYAM BAKAR (ARAB STYLE) :

BAHAN-BAHAN :
1 kg dada ayam - dipotong dadu
3 sudu besar sos mustard
Garam secukup rasa
2 sudu besar cuka
2 sudu besar serbuk lada hitam
2 labu bawang besar - dikisar
1 labu bawang putih - dikisar
2 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar perahan jus lemon

CARA-CARA :
Campur kesemua bahan dan perap ayam selama kira-kira 1 jam. Selepas itu bolehlah dibakar. Mudahkan ? SELAMAT MENCUBA.

Jika diberi kesempatan saya ingin belajar memasak pelbagai jenis nasi Arab seperti nasi kabsah, mandy, zubyan dan pelbagai lagi. Juga pelbagai jenis syurbah (sup) dan salatah.

Khamis, 7 Julai 2011

MUSIM PANAS YANG KELIRU

Sekarang di Jordan telah tiba musim panas setelah berlalunya musim sejuk yang terlalu sejuk juga berlalunya musim bunga yang cantik dengan hiasan bunga-bungaan. Oleh kerana pertama kali melalui pengalaman menghadapi musim panas, saya menjadi agak keliru dengan waktu tidur kerana malamnya lebih pendek berbanding siang. Malam hanya kira-kira 8 jam berbanding siang selama 16 jam.  Kerapkali jua situasi tidak cukup tidur  saya hadapi. Akibatnya pengurusan waktu agak kucar-kacir dan saya agak keliru untuk mengatur jadual waktu dengan sebaik mungkin. Dikatakan orang-orang Arab pada musim panas tidak tidur pada waktu malam. Tetapi selepas Subuh mereka akan tidur sepuas-puasnya sehingga Zuhur. Sejauh mana kebenaran fakta ini setakat ini tidak pula dapat saya buktikan kerana saya sendiri tidak membuat pemerhatian. Sepertimana musim sejuk dan musim bunga pada lewat malam saya hanya berkurung di dalam rumah dan hanya keluar rumah seawal 7.30 pagi. Itupun untuk menemankan anak-anak naik van ke sekolah. Mungkinkah selepas ini saya perlu menjadi seperti orang-orang Arab ? Tidak tidur pada waktu malam, tetapi mengqadakan tidur pada waktu siang?  Namun begitu, saya kurang gemar tidur sesudah Subuh. Mana satukah pilihan yang tepat, setakat ini saya masih membuat pertimbangan. Yang penting bagi saya, solat Subuh tidak lewat, dan tidur pun cukup serta pengurusan rumah tangga dapat saya atur dengan sebaik mungkin. Ya Allah, bantulah hamba-Mu dalam menghadapi situasi yang agak keliru ini.  

CERITA HARI JUMAAT DAN SURAH AL-KAHFI



Salam pagi Jumaat....Setiap kali tibanya hari Jumaat satu perkara yang seboleh-bolehnya ingin saya lakukan secara berterusan pada setiap hari Jumaat adalah menghabiskan membaca surah al-Kahfi. Namun begitu, atas faktor kesibukan sejak bergelar isteri dan ibu, kadang-kadang saja saya sempat menghabiskan membaca satu surah ini. Kerap kali juga penyesalan datang bertandang di hati ini. Berbanding semasa saya masih berseorangan dahulu, kerap kali juga saya sempat menghabiskan membacanya. Semoga saya sentiasa beringat bahawa sementara Allah mengurniakan untuk saya peluang dan kesempatan, maka saya perlu merebut peluang tersebut sebaik-baiknya sebelum tibanya waktu kesempitan.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pada usia penghujung 30-an, Allah mengurniakan peluang untuk saya melihat kesan sejarah sepertimana yang diceritakan dalam Surah al-Kahfi. Kebetulan sekarang saya tinggal di Jordan, maka kesan sejarah seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi dapat saya saksikan dengan mata saya sendiri.

Di Jordan, lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak di kawasan Abu Alanda, iaitu berhampiran kawasan perindustrian Sahab. Selama hampir setahun tinggal di sini baru 2 kali saya sempat berkunjung ke sana. Untuk pengetahuan pembaca, antara fadhilat membaca Surah al-Kahfi ialah Nabi S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat". Semoga saya mengambil peringatan tentang fadhilat membaca surah ini dan dapat beristiqamah dengannya. Amin....

Di sini saya ingin berkongsi sedikit fakta sejarah berkaitan Surah Al-Kahfi dengan para pembaca. Al-Quran menceritakan 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah telah melarikan diri ke sebuah gua kerana faktor keimanan dan di gua tersebut, Allah telah menidurkan dalam jangka masa yang lama . Jangka masa tidur mereka adalah selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah). Kisah pelarian 7 pemuda ini bermula apabila mereka terpaksa berhadapan dengan raja yang zalim. Oleh kerana keimanan mereka kepada Allah, 7 pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim tersebut bersama seekor anjing milik mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ. Dengan kuasa Allah mereka ditidurkan selama 309 tahun Qamariah. Apabila mereka terjaga dari tidur yang panjang itu, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan. Pemuda tersebut mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Hal ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).Pemuda tersebut kembali ke gua dan menceritakan kepada rakan-rakannya. Dengan kuasa Allah juga, selepas itu 7 pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut. Kebenaran kisah ini terdapat dalam ayat 9 hingga 26.

Sebenarnya, ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian untuk membuktikan lokasi sebenar berlakunya kisah 7 pemuda tersebut. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakala, penganut kristian menjalankan kajian mereka berdasarkan kitab Bible. Pelbagai hasil kajian dan pandangan telah diberikan untuk menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah kisah ini berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh para alim ulama terdahulu. Perbincangan tersebut telah dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?

 Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Menurut sejarah, Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua pula berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman pemerintahan Maharaja Trojan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trojan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Trojan memerintahkan sesiapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trojan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Wallahualam....

CATATAN POPULAR