Khamis, 7 Julai 2011
MUSIM PANAS YANG KELIRU
Sekarang di Jordan telah tiba musim panas setelah berlalunya musim sejuk yang terlalu sejuk juga berlalunya musim bunga yang cantik dengan hiasan bunga-bungaan. Oleh kerana pertama kali melalui pengalaman menghadapi musim panas, saya menjadi agak keliru dengan waktu tidur kerana malamnya lebih pendek berbanding siang. Malam hanya kira-kira 8 jam berbanding siang selama 16 jam. Kerapkali jua situasi tidak cukup tidur saya hadapi. Akibatnya pengurusan waktu agak kucar-kacir dan saya agak keliru untuk mengatur jadual waktu dengan sebaik mungkin. Dikatakan orang-orang Arab pada musim panas tidak tidur pada waktu malam. Tetapi selepas Subuh mereka akan tidur sepuas-puasnya sehingga Zuhur. Sejauh mana kebenaran fakta ini setakat ini tidak pula dapat saya buktikan kerana saya sendiri tidak membuat pemerhatian. Sepertimana musim sejuk dan musim bunga pada lewat malam saya hanya berkurung di dalam rumah dan hanya keluar rumah seawal 7.30 pagi. Itupun untuk menemankan anak-anak naik van ke sekolah. Mungkinkah selepas ini saya perlu menjadi seperti orang-orang Arab ? Tidak tidur pada waktu malam, tetapi mengqadakan tidur pada waktu siang? Namun begitu, saya kurang gemar tidur sesudah Subuh. Mana satukah pilihan yang tepat, setakat ini saya masih membuat pertimbangan. Yang penting bagi saya, solat Subuh tidak lewat, dan tidur pun cukup serta pengurusan rumah tangga dapat saya atur dengan sebaik mungkin. Ya Allah, bantulah hamba-Mu dalam menghadapi situasi yang agak keliru ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan