Khamis, 7 Julai 2011

CERITA HARI JUMAAT DAN SURAH AL-KAHFI



Salam pagi Jumaat....Setiap kali tibanya hari Jumaat satu perkara yang seboleh-bolehnya ingin saya lakukan secara berterusan pada setiap hari Jumaat adalah menghabiskan membaca surah al-Kahfi. Namun begitu, atas faktor kesibukan sejak bergelar isteri dan ibu, kadang-kadang saja saya sempat menghabiskan membaca satu surah ini. Kerap kali juga penyesalan datang bertandang di hati ini. Berbanding semasa saya masih berseorangan dahulu, kerap kali juga saya sempat menghabiskan membacanya. Semoga saya sentiasa beringat bahawa sementara Allah mengurniakan untuk saya peluang dan kesempatan, maka saya perlu merebut peluang tersebut sebaik-baiknya sebelum tibanya waktu kesempitan.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pada usia penghujung 30-an, Allah mengurniakan peluang untuk saya melihat kesan sejarah sepertimana yang diceritakan dalam Surah al-Kahfi. Kebetulan sekarang saya tinggal di Jordan, maka kesan sejarah seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi dapat saya saksikan dengan mata saya sendiri.

Di Jordan, lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak di kawasan Abu Alanda, iaitu berhampiran kawasan perindustrian Sahab. Selama hampir setahun tinggal di sini baru 2 kali saya sempat berkunjung ke sana. Untuk pengetahuan pembaca, antara fadhilat membaca Surah al-Kahfi ialah Nabi S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat". Semoga saya mengambil peringatan tentang fadhilat membaca surah ini dan dapat beristiqamah dengannya. Amin....

Di sini saya ingin berkongsi sedikit fakta sejarah berkaitan Surah Al-Kahfi dengan para pembaca. Al-Quran menceritakan 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah telah melarikan diri ke sebuah gua kerana faktor keimanan dan di gua tersebut, Allah telah menidurkan dalam jangka masa yang lama . Jangka masa tidur mereka adalah selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah). Kisah pelarian 7 pemuda ini bermula apabila mereka terpaksa berhadapan dengan raja yang zalim. Oleh kerana keimanan mereka kepada Allah, 7 pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim tersebut bersama seekor anjing milik mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ. Dengan kuasa Allah mereka ditidurkan selama 309 tahun Qamariah. Apabila mereka terjaga dari tidur yang panjang itu, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan. Pemuda tersebut mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Hal ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).Pemuda tersebut kembali ke gua dan menceritakan kepada rakan-rakannya. Dengan kuasa Allah juga, selepas itu 7 pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut. Kebenaran kisah ini terdapat dalam ayat 9 hingga 26.

Sebenarnya, ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian untuk membuktikan lokasi sebenar berlakunya kisah 7 pemuda tersebut. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakala, penganut kristian menjalankan kajian mereka berdasarkan kitab Bible. Pelbagai hasil kajian dan pandangan telah diberikan untuk menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah kisah ini berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh para alim ulama terdahulu. Perbincangan tersebut telah dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?

 Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Menurut sejarah, Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua pula berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman pemerintahan Maharaja Trojan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trojan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Trojan memerintahkan sesiapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trojan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Wallahualam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

CATATAN POPULAR