Anak-anak saya amat sukakan donut. Nak diceritakan, percaya ye jangan tak percaya- termasuk hari ini, sudah 3 hari berturut-turut saya menguli doh donut kerana nak membuat donut. Bukan terlebih rajinlah, tapi buat donut 3 hari berturut-turut ni kerana permintaan anak-anak. "Esok ummi buat lagi..." Rajin tak rajin, mahu tidak mahu, buat le juga kerana anak-anak nak makan.
Di Jordan sekarang, musim panas, jadi jam 4 pagi sudah masuk Subuh. Sesudah selesai menunaikan solat Subuh, saya terus menguli doh donut. Jadinya, untuk sarapan sedang elok doh dah naik untuk "bikin" donut. Jika musim sejuk, setelah selesai uli doh, doh mesti diletakkan di hadapan pemanas untuk cepat naik. Jika tidak diletakkan di hadapan pemanas, pagi uli, petang baru boleh makan atau malam uli, pagi baru boleh makan. Biasanya, kalau musim sejuk, malam saya dah siap uli untuk sarapan esoknya. Jadi doh tidak perlu letak di hadapan pemanas untuk cepat naik.
Jika tidak silap saya sejak berkahwin, sudah acap kali saya cuba untuk membuat donut. Rasanya percubaan untuk buat donut sudah 9 kali, tapi kesemuanya menjadi jamuan tong sampah. Jangan tak tahu ye...tak jadi... Hinggalah percubaan kali-10 barulah donut saya menjadi sejak kami tinggal di Jordan. Perasaan gembira saya sukar untuk digambarkan kerana saya dah pandai buat donut. Suami saya kata : dah duduk Jordan baru pandai buat donut. Pelbagai resepi dari internet saya cuba, tapi satu pun tak menjadi. Mungkin salah tangan yang membuatnya kot. Nak dijadikan cerita, resepi donut yang saya dapat dari ibu mertua saya, barulah menjadi. Selama ini tidak terdetik di hati untuk bertanya resepi donut dari ibu mertua saya, hanya pandai makan je....Dan resepi inilah juga saya buat donut untuk anak-anak saya.
Jika di Malaysia dulu, nak makan donut tak susah, beli saja. Di Jordan ni bukan tidak ada kedai donut, area rumah saya saja ada 2-3 kedai donut, tapi ntah mengapa tidak ada keinginan untuk membeli di kedai donut. Ada satu kedai tu, jalan kaki 3 minit saja sudah sampai kedai donut, tapi tidak pula teringin untuk mencuba membeli donut di situ. Lebih puas buat sendiri. Inilah hikmahnya datang ke Jordan, salah satunya-SAYA SUDAH PANDAI BUAT DONUT. Bagi orang lain mungkin tiada apa-apa istimewanya pandai buat donut, tapi saya rasa sungguh istimewa kerana telah 9 kali saya cuba, hanya percubaan kali yang ke-10 barulah donut saya menjadi.
Betapa sukanya saya, jadi saya nak share resepi donut bersama pembaca sekalian. Saya namakan donut ini
DONUT IBUNDA.
Bahan-bahan :
400 gm tepung gandum
1 setengah sudu teh yis kering
1 setengah sudu teh baking powder
Secubit garam
6 sudu besar susu pekat manis
1 sudu teh yogurt asli
4 sudu besar minyak
1 biji telur saiz M
1 cawan air suam
Cara membuat :
Tepung, yis dan baking powder, garam dicampur dan digaul rata. Masukkan susu pekat manis, sebatikan. Masukkan yogurt, sebatikan, Masukkan minyak sebatikan. Gaul dengan tangan hingga jadi seperti serbuk roti. Pukul telur dalam bekas lain, dan masukkan ke dalam doh, sebatikan. Akhir sekali tuang air sedikit demi sedikit. Uli hingga doh tidak melekat di tangan. Perap doh sehingga naik dua kali ganda. Bila doh dah naik, tumbuk-tumbuk untuk keluarkan angin. Bentukkan donut dan goreng. Bila agak sejuk sedikit gaulkan bersama gula halus dan hidangkan.
Doh donut ini juga saya gunakan untuk buat burger Malaysia. Cumanya kena dimasak sambal ikan bilis sebagai inti. Untuk buat kuih pau juga saya gunakan cara yang sama, cuma saya tidak letak susu dan telur. Jadi, dengan bahan yang lebih kurang sama, saya dah pandai buat 3 jenis kuih. Dan ketiga-tiga jenis kuih ini saya pandai buat setelah tinggal di Jordan. Alhamdulillah...rezeki suami dan anak-anak juga.